Apabila anak-anak Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) memasuki sekolah menengah, persoalan yang sering bermain di fikiran ibu bapa ialah,"Apakah hala tuju anak saya selepas tamat persekolahan?"
Setiap anak mempunyai potensi unik yang menanti untuk dicungkil. Bagi MBPK di peringkat sekolah menengah, aliran akademik bukanlah satu-satunya jalan penentu masa depan. Melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah menyediakan satu anjakan paradigma yang luar biasa iaitu aliran Kemahiran Vokasional Spesifik di bawah Sistem persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).
Laluan kemahiran ini dirangka khas untuk memberi ruang kepada MBPK menguasai kemahiran praktikal yang diiktiraf oleh industri, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan membina keyakinan diri untuk berdikari.
Kenapa SKM menjadi pilihan terbaik untuk MBPK?
SKM menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan kerja dan amali (hands-on). Bagi anak-anak MBPK yang mungkin menghadapi kesukaran dalam penilaian berbentuk teori atau peperiksaan bertulis, kaedah amali ini memberi mereka ruang untuk belajar melalui perbuatan, pengulangan dan latihan fizikal yang berstruktur. Sijil yang dikeluarkan oleh JPK ini mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan diiktiraf oleh sektor awam serta swasta di Malaysia.
9 haluan kemahiran JPK di PPKI: Membuka pintu peluang
Terdapat sembilan bidang kemahiran utama yang ditawarkan mengikut kesesuaian dan keupayaan murid di PPKI sekolah menengah. Setiap bidang ini mempunyai skop pengajian dan hala tuju kerjaya yang jelas:
1) Bidang Kulinari & Perkhidmatan Makanan
- Pembuatan Roti: Murid diajar teknik mengadun, membentuk dan membakar pelbagai jenis roti komersial. Mereka berpotensi bekerja di bakeri hotel, pasar raya atau mengusahakan perniagaan dari rumah.
- Pembuatan Pastri: Fokus kepada penyediaan pencuci mulut, kek, pastri dan biskut. Kemahiran hiasan kek yang kreatif sangat sesuai untuk mengasah fokus dan motor halus murid.
- Penyediaan dan Penghasilan Makanan: Memperkenalkan murid kepada dunia masakan (kulinari). Mereka belajar penyediaan bahan mentah, teknik memasak hidangan utama dan pengurusan dapur yang sistematik.
- Operasi Servis Makanan dan Minuman: Melatih murid dalam aspek layanan pelanggan, etiket pramusaji (*waiter/waitress*), cara menghidang dan pengurusan operasi kafe atau restoran.
2) Bidang Kreatif & Tekstil
- Pembuatan Pakaian Wanita: Murid didedahkan dengan kemahiran mengambil ukuran, melakar pola, memotong kain dan teknik jahitan mesin. Ini membuka peluang untuk mereka menjadi tukang jahit atau pembantu pereka fesyen.
- Rekabentuk Multimedia Interaktif: Sesuai untuk MBPK yang mempunyai minat mendalam terhadap teknologi. Mereka diajar asas reka bentuk grafik, suntingan gambar, dan video, yang sangat relevan dengan industri digital hari ini.
3) Bidang Pertanian, Alam Semulajadi & Kesihatan
- Operasi Pengeluaran Tanaman: Murid belajar teknik pertanian moden, penjagaan tanaman, hidroponik dan pengurusan landskap. Bidang ini melatih sifat sabar dan disiplin yang tinggi.
- Akuakultur: Fokus kepada ternakan hidupan air air tawar atau masin (seperti ikan dan udang), pengurusan kolam dan pembiakan. Ini merupakan sektor agrobiz yang mempunyai permintaan tinggi.
- Refleksologi: Melatih murid dalam seni urutan terapi kaki dan tangan untuk kesihatan. Kemahiran ini memberikan peluang kerjaya di pusat-pusat spa, pusat kesihatan atau sebagai pengamal refleksologi bergerak.
Sokongan kita, kejayaan mereka
Haluan SKM di PPKI membuktikan bahawa kekurangan fizikal atau kognitif bukanlah penghalang untuk berjaya. Dengan adanya sembilan pilihan kemahiran ini, anak-anak MBPK tidak lagi tercicir, malah mampu menjadi aset yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Sokongan padu, kesabaran dan kepercayaan kita terhadap kebolehan mereka adalah kunci utama. Mari kita bantu anak-anak ini memilih haluan kemahiran yang tepat demi masa depan yang lebih cerah dan mandiri!
Maklumat penulis:
Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Sura, Dungun, Terengganu, Cikgu Tengku Nor Akmaliana Tengku Zainuddin
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my