Lebih RM200,000 berjaya dikumpul, dewan utama SMKATAHAP kini lebih selesa & kondusif

Iklan
Dengan siapnya pemasangan sistem penyaman udara dan kipas gergasi itu, dewan utama SMKATAHAP kini tampil lebih selesa, moden dan kondusif untuk pelaksanaan pelbagai program melibatkan pelajar, guru serta komuniti sekolah.

Usaha menaik taraf dewan utama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (SMKATAHAP), Jerantut, Pahang akhirnya membuahkan hasil apabila projek pemasangan sistem penyaman udara dan kipas gergasi berjaya direalisasikan hasil kerjasama serta sumbangan pelbagai pihak.

Projek yang sekian lama diimpikan warga sekolah itu berjaya dilaksanakan selepas lebih RM200,000 berjaya dikumpul menerusi sumbangan para alumni SMKATAHAP, mantan guru serta bantuan Kerajaan Negeri Pahang yang disalurkan melalui Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, dewan utama SMKATAHAP sebelum ini tidak pernah dilengkapi dengan sistem penyaman udara, berbeza dengan beberapa dewan sekolah lain di sekitar Jerantut yang telah lebih awal menikmati kemudahan tersebut.

Keadaan itu mendorong Persatuan Alumni SMKATAHAP mengambil inisiatif menggerakkan usaha pengumpulan dana bagi memastikan warga sekolah dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa dan kondusif.

Iklan

Presiden Persatuan Alumni SMKATAHAP, Mohamad Omar Mokhrij Johari berkata, kejayaan projek berkenaan membuktikan komitmen berterusan alumni dalam membantu meningkatkan kemudahan sekolah demi manfaat generasi pelajar masa kini dan akan datang.

Iklan

"Ini bukanlah projek pertama alumni dalam membantu pihak sekolah dan pastinya bukan yang terakhir. Alumni sentiasa komited dalam memastikan SMKATAHAP sentiasa berdaya saing dan terus unggul dalam melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungan erat antara alumni dan sekolah akan terus diperkukuhkan menerusi pelbagai bentuk kerjasama yang memberi impak positif kepada pembangunan institusi pendidikan tersebut.

Dengan siapnya pemasangan sistem penyaman udara dan kipas gergasi itu, dewan utama SMKATAHAP kini tampil lebih selesa, moden dan kondusif untuk pelaksanaan pelbagai program melibatkan pelajar, guru serta komuniti sekolah. 

Kemudahan baharu tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada penganjuran aktiviti akademik, kokurikulum, majlis rasmi sekolah, seminar, bengkel serta pelbagai program pembangunan sahsiah pelajar yang diadakan sepanjang tahun.

Lebih daripada sekadar projek menaik taraf infrastruktur, kejayaan ini turut menjadi simbol semangat kebersamaan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh alumni, mantan guru serta Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa kemudahan pendidikan dan kebajikan warga sekolah.

Terdahulu, alumni SMKATAHAP turut memainkan peranan penting dalam membantu sekolah menerusi pelbagai sumbangan melibatkan aspek infrastruktur, penyediaan peralatan serta penganjuran program pembangunan pelajar.

Sokongan berterusan yang diberikan itu membuktikan alumni bukan sahaja menjadi duta sekolah selepas menamatkan persekolahan, malah terus menyumbang tenaga, idea dan sumber bagi memastikan SMKATAHAP kekal sebagai institusi pendidikan yang cemerlang serta mampu melahirkan generasi berkualiti pada masa hadapan.

INFO

Projek penyaman udara dewan utama SMKATAHAP

  • Nilai RM220,000
  • Jumlah unit penyaman udara (16 Unit) (14 5.0hp, 2 2.5hp)
  • Harga termasuk pendawaian dan juga pemasangan meter khas untuk penyaman udara
  • Harga juga termasuk dua unit kipas gergasi
  • Mengambil tempoh seminggu untuk memenuhkan dana dan setahun untuk melengkapkan keseluruhan projek sehingga selesai.
  • Penyumbang dana majoritinya daripada alumni dibantu oleh mantan guru serta disuntik dana oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebanyak RM20,000
  • Penyaman udara sempat digunakan oleh calon SPM 2025