16 bekas tentera wanita dipilih sebagai warden sepenuh masa MRSM

Iklan
Seramai 16 bekas tentera wanita dipilih sebagai warden sepenuh masa MRSM selepas melepasi proses saringan ketat membabitkan 162 calon.

Seramai 16 bekas tentera wanita dipilih sebagai warden sepenuh masa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) selepas melepasi proses saringan ketat membabitkan 162 calon.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sesi temu duga fizikal bagi calon Warden Wanita Bekas Tentera Sepenuh Masa itu selesai dijalankan pada Khamis lalu di Inkubator Teknologi Makanan Mara, Kepong.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, daripada 162 calon yang menghadiri sesi berkenaan, hanya 16 orang berjaya dipilih selepas melalui proses saringan dan temu duga terperinci.

Jelasnya, proses pemilihan itu merangkumi tiga komponen penilaian, iaitu Ujian Pemeriksaan Indeks Jisim Badan (BMI), Ujian Bleep Test dan temu duga bersemuka bagi menentukan merit serta kelayakan mereka untuk dilantik sebagai warden. 

Iklan

"Mereka akan memulakan tugas pada 10 Julai 2026," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Ahad.

Pada 1 Jun lalu, beliau turut memaklumkan, seramai 16 bekas anggota tentera mula melaporkan diri sebagai warden lelaki di MRSM, sekali gus menandakan permulaan pelaksanaan inisiatif baharu Mara bagi memperkukuh keselamatan, kebajikan dan disiplin pelajar di institusi berkenaan.

Iklan

Menurut beliau, warden MRSM bukan sekadar bertanggungjawab menjaga disiplin dan keselamatan pelajar, sebaliknya turut berperanan sebagai murabbi yang menggantikan ibu bapa pelajar sepanjang berada di asrama.

Sehubungan itu, katanya, semua warden akan menjalani latihan secara berkala bagi memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Mara untuk melahirkan generasi ulul albab yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah terpuji, akhlak yang baik, integriti tinggi serta ilmu ukhrawi yang bermanfaat.

Beliau berkata, usaha berkenaan diharap dapat terus membendung budaya buli, salah laku disiplin dan gejala sosial, selain membentuk persekitaran MRSM yang lebih selamat, kondusif dan subur dengan biah solehah yang menekankan nilai adab, hormat-menghormati, kasih sayang, ukhuwah serta budaya menuntut ilmu.