Penganjuran Karnival Kerjaya Pendidikan Murid (SUKSES) 5.0 terus membuktikan kepentingannya sebagai platform yang membantu murid merancang hala tuju pendidikan dan kerjaya sejak di bangku sekolah.
Menurut Yang Dipertua (YDP) Majlis Guru Kaunseling Kuala Lumpur (MGKKL), Zainal Ariffi n Abdullah, sambutan yang diterima sejak penganjuran edisi pertama sehingga kini amat memberangsangkan sekali gus mencerminkan keperluan murid terhadap program berbentuk pendedahan awal mengenai laluan pendidikan dan kerjaya.
“Pendedahan ini memberi perspektif baharu kepada murid untuk mengenal pasti cita-cita, seterusnya menjadi pemangkin kepada mereka agar lebih berusaha mencapai sasaran akademik dan melanjutkan pengajian selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Apabila murid dapat pendedahan lebih awal, mereka lebih jelas tentang hala tuju yang ingin dipilih dan akan lebih bersungguh-sungguh mengejar impian mereka,” katanya kepada Sinar Bestari.
Pelbagai reruai melibatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Unit Pusat Universiti (UPU), Program Matrikulasi, syarikat perunding pendidikan serta pemain industri turut mengambil bahagian bagi memberikan maklumat berkaitan peluang pendidikan dan kerjaya.
Malah, penyertaan agensi serta industri seperti sektor pelancongan membuka ruang kepada murid untuk mengenali bidang yang mungkin tidak pernah mereka pertimbangkan sebelum ini.
Tambah Zainal Ariffin, pihaknya menyasarkan kira-kira 9,000 murid menghadiri SUKSES 5.0 dan penyertaan amat menggalakkan dengan kehadiran pelajar daripada pelbagai sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya, sokongan sekolah yang menghantar murid secara berkumpulan membolehkan lebih ramai pelajar memperoleh manfaat daripada perkongsian yang disediakan.
Selain murid sekolah menengah, SUKSES 5.0 turut menyediakan segmen khas untuk murid sekolah rendah menerusi penyertaan lapan reruai sekolah khusus termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan institusi TVET.
Pendedahan awal itu membantu murid memahami pilihan yang tersedia, sekali gus membuat persediaan menghadapi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) serta merancang laluan pendidikan seawal mungkin.