Nama-nama besar seperti Mana Sikana, A Samad Said, Shahnon Ahmad, Azizi Haji Abdullah, Kemala dan Baha Zain bukanlah nama asing dalam dunia kesusasteraan tanah air.
Tokoh-tokoh ini bukan sahaja berjaya menghasilkan karya berkualiti tinggi, malah telah mewarnai landskap sastera negara melalui pemikiran kreatif yang segar serta pelbagai pengiktirafan berprestij yang diterima di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Tidak hairanlah ramai penulis muda menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi untuk terus berkarya dan menyumbang kepada perkembangan dunia sastera.
Bagi golongan ini, bidang penulisan bukan sekadar hobi, sebaliknya medium untuk menyampaikan idea, membina pemikiran masyarakat dan meninggalkan legasi buat generasi akan datang.
Dalam kalangan pelapis muda yang semakin menyerlah ialah alumni Sarjana Muda Pengajian Warisan dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Kelantan, Muhammad Afif Zulhusni Azhar, 28, yang dilihat berpotensi besar untuk meneruskan kesinambungan kegemilangan dunia kesusasteraan negara.
Diangkat sebagai penerima Anugerah Sasterawan Muda Negeri Pulau Pinang 2023, beliau yang lebih dikenali dengan nama pena Afif Zulhusni cukup sinonim dengan penghasilan cerpen yang sarat dengan nilai kemanusiaan dan pemikiran kritis.
Bakatnya terbukti menerusi cerpen bertajuk Ga Alif Ya Wau Nga yang tersiar dalam majalah Dewan Budaya Bil. 7/2021 sebelum meraih Hadiah Kategori B (Cerpen) sempena Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang 2023.
Selain itu, anak kelahiran Perlis tersebut turut aktif menghasilkan cerpen eceran dan esei yang sering diterbitkan dalam majalah, antologi serta pelbagai penerbitan sastera lain.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Bukit Mertajam, Pulau Pinang, minat yang mendalam merupakan asas utama bagi seseorang untuk kekal istiqamah dalam bidang penulisan.
"Pendedahan awal tentang sastera perlulah bermula dari rumah. Ibu bapa perlulah memberikan info kepada anak-anak tentang sasterawan negara dan menyediakan bahan bacaan yang berkualiti.
"Selain itu, generasi muda juga perlu melibatkan diri menerusi aktiviti berteraskan sastera, terutamanya program dan pertandingan dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
"Melalui penyertaan sedemikian, ruang sosial kita dalam dunia kesusasteraan akan lebih berkembang dari semasa ke semasa," katanya kepada Sinar Bestari.
Anak pasangan Azhar Mohamad dan Aniza Shaari turut mengakui perjalanan sebagai penulis muda pada era digital bukanlah sesuatu yang mudah kerana pelbagai cabaran perlu ditempuhi.
"Sebagai penulis muda, kita tidak boleh menyalahkan zaman. Hal ini kerana zamanlah yang membentuk corak pemikiran manusia, khususnya para penulis muda untuk berkembang lebih jauh.
"Walau bagaimanapun, melalui zaman jugalah lahir pelbagai teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT dan Gemini yang kadangkala disalahgunakan oleh segelintir pihak. Isu plagiat semakin berleluasa, malah keaslian karya turut terjejas dan secara tidak langsung merencatkan perkembangan dunia penulisan.
"Saya juga pernah putus asa dalam dunia penulisan. Ini bukan soal karya ditolak atau dibakulsampahkan, tetapi lebih kepada faktor-faktor yang membelenggu pemikiran dan kehidupan. Cara untuk membakar kembali semangat yang semakin malap sudah tentu dengan mendidik diri untuk membaca walaupun hanya sebuah puisi atau cerpen setiap hari.
"Pilihlah buku yang penulisnya kita kagumi. Secara tidak langsung, cinta kita terhadap dunia sastera akan kembali bercahaya," kongsinya.
Genre cerpen jadi pilihan
Ramai pembaca beranggapan menghasilkan cerpen lebih mudah berbanding novel kerana jumlah patah perkataannya yang lebih pendek.
Namun hakikatnya, keterbatasan ruang dalam sesebuah cerpen menuntut ketelitian yang tinggi daripada penulis bagi memastikan jalan cerita, watak dan mesej dapat disampaikan secara berkesan.
Menurut Afif Zulhusni, setiap cerpen mempunyai teknik dan keistimewaan tersendiri yang memerlukan latihan serta pengalaman berterusan.
"Cerpen bukan sekadar cerita yang pendek. Penulis perlu bijak mengurus ruang yang terhad untuk membina konflik, mengembangkan watak dan menyampaikan mesej kepada pembaca.
"Bagi saya, cabaran itulah yang menjadikan genre cerpen sangat menarik. Penulis perlu berfikir secara kreatif dan memilih setiap perkataan dengan cermat agar memberi kesan kepada pembaca," jelasnya.
Mengakhiri perbualan, Afif Zulhusni berharap dunia sastera tanah air terus berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan generasi muda meskipun berdepan arus teknologi yang semakin pantas.
Menurutnya, masa depan sastera bergantung kepada kesediaan generasi muda untuk terus membaca, menulis dan menghargai karya-karya tempatan.
"Masa depan sastera sekarang bergantung kepada generasi muda termasuklah saya yang memikul gelaran Sasterawan Muda Negeri.
"Kita perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat. Meskipun AI melahirkan ancaman kepada karya kreatif, namun peluang yang diwujudkan menerusinya masih boleh dimanfaatkan sebaik mungkin.
"Oleh itu, sastera tidak akan mati, melainkan ada sesuatu yang mematikannya," katanya.
Anugerah dan Pencapaian
- Penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 bagi Kategori B: Cerpen Remaja Eceran
- Hadiah Utama Sayembara Penulisan Cerpen Penulis Muda 2024 anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia
- Anugerah Sasterawan Muda Negeri Pulau Pinang 2023
- Penerima Anugerah Penulis Harapan Negeri Pulau Pinang 2025