Seorang murid yang cedera dalam satu insiden tikam di sebuah sekolah di Selangor kini sedang menerima rawatan di hospital, manakala suspek kejadian telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan proses siasatan dapat dijalankan dengan lancar.
Menurut kenyataan itu, keutamaan ketika ini adalah memastikan murid yang terlibat menerima rawatan terbaik di samping bantuan sewajarnya disalurkan kepada keluarga mangsa.
Selain itu, pasukan kaunselor serta Guru Bimbingan dan Kaunseling turut digerakkan bagi melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan dengan insiden berkenaan.
JPN Selangor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Sinar Bestari menyeru semua pihak agar menghormati privasi mangsa dan keluarga serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.