'Jaga adab, istiqamah & cinta al-Quran' - Ustaz Ahmad Lutfi dedah rahsia kejayaan Tengku Umayr 'Akef

Iklan
Semoga ALLAH memelihara hafazanmu, mengangkat darjatmu dengan al-Quran, menjadikanmu pembela agama, pemimpin umat dan cahaya buat kedua ibu bapamu di dunia dan di akhirat anakanda Tengku Umayr - Ustaz Ahmad Lutfi

15 jam 42 minit berdiri untuk mentasmik 30 juzuk al-Quran dalam tempoh sehari bukanlah sesuatu yang mampu dilakukan oleh semua orang.

Namun, bagi Tengku Umayr 'Akef Tengku Asyraf, cabaran besar itu berjaya ditempuh dengan penuh ketabahan sehingga melayakkannya meraih Syahadah Ula iaitu pengiktirafan tertinggi dalam hafazan al-Quran.

Iklan
Iklan

Lebih membanggakan, pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali, Selangor itu memperoleh keputusan Mumtaz dengan markah 97.7 peratus, sekali gus membuktikan kecemerlangan luar biasa yang dicapai hasil kesungguhan dan istiqamah yang berpanjangan.

Menurut Mudir Maahad Tahfiz Al-Fateh, Ustaz Ahmad Lutfi Paridin, di sebalik angka 97.7 peratus yang diumumkan, tersimpan sebuah perjalanan panjang yang penuh pengorbanan dan kesabaran.

Iklan

Katanya, ketika memasuki 15 juzuk terakhir dalam sesi tasmik tersebut, Tengku Umayr 'Akef seolah-olah berada dalam keadaan separa sedar. Namun, bibirnya terus mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan lancar dan tepat.

Iklan

Apa yang lebih mengagumkan, bacaan beliau tidak memerlukan sebarang pembetulan daripada enam orang panel yang bertugas menyemak hafazan tersebut.

"Tiada yang beliau lupa. Semuanya disemak hingga ke baris-baris hujung dalam kalimah,” kongsinya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, kejayaan itu bukan dicapai dalam masa singkat. Sebelum menduduki ujian Syahadah Ula, Tengku Umayr 'Akef perlu mengulang hafazan sekurang-kurangnya enam kali khatam selepas menamatkan 30 juzuk al-Quran.

Hakikatnya, kejayaan tersebut terhasil daripada ribuan jam pengulangan, disiplin yang tinggi dan kesanggupan mengorbankan masa serta tenaga demi memastikan kalam ALLAH SWT terus terpelihara dalam ingatan.

"Ini bukan sekadar kisah seorang pelajar yang kuat menghafal. Ini adalah kisah tentang ribuan jam yang tidak dilihat oleh manusia lain. Kelelahan melawan rasa letih, kepenatan mengulang ayat yang sama berkali-kali dan ujian untuk terus istiqamah menjaga hafazan," ujarnya lagi.

Bagi Ustaz Ahmad Lutfi, terdapat beberapa keistimewaan yang menjadikan Tengku Umayr 'Akef sebagai contoh terbaik kepada pelajar lain.

Sepanjang 1,260 hari menuntut ilmu di Maahad Tahfiz Al-Fateh, beliau tidak pernah membantah keputusan guru mahupun mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Adab dan rasa hormat terhadap guru sentiasa menjadi pegangan utama dalam kehidupannya sebagai penuntut ilmu dan menjadi antara faktor penting yang membuka jalan kepada kejayaan.

Selain itu, Tengku Umayr 'Akef juga sentiasa meletakkan al-Quran sebagai keutamaan dalam kehidupan. Pada satu sesi muhasabah bersama rakan-rakan pada penghujung tahun 2025, beliau mengingatkan agar hafazan al-Quran tidak diketepikan walaupun sibuk dengan pelbagai urusan lain.

"Dalam kita sibuk dakwah dan macam-macam urusan sepatutnya kena jaga al-Quran. Jangan bermaksiat nanti al-Quran hilang dan boleh cepat lupa. Banyak dari kita jadikan hafazan ni nombor dua..." nasihat Tengku Umayr 'Akef. 

Seterusnya, kata Ustaz Ahmad Lutfi, kejayaan anak didiknya itu turut didorong oleh sistem sokongan yang kukuh daripada guru hafazan, mentor, naqib usrah, persekitaran tarbiah di maahad serta dorongan berterusan daripada ibu bapanya.

"Semoga ALLAH memelihara hafazanmu, mengangkat darjatmu dengan al-Quran, menjadikanmu pembela agama, pemimpin umat dan cahaya buat kedua ibu bapamu di dunia dan di akhirat anakanda Tengku Umayr," jelasnya.