Harumkan nama negara! Citra Pawana buktikan seni tari mampu tembusi pentas dunia

Iklan
Tahniah atas kejayaan pasukan Tarian Citra Pawana yang dianggotai lapan pelajar Tingkatan Empat iaitu Erika Lyana, Zulaikha Hanny Raneea, Ainul Zaharah, Putri Nur Nayla, Hannah Damia, Amni Humaira, Alyssa Saiful dan Nur Izza Myiesha. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus mengembangkan bakat, mengukir lebih banyak pencapaian dan mengharumkan nama sekolah serta negara di persada antarabangsa.

Bakat seni tari dalam kalangan pelajar Malaysia semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Jika dahulu pencapaian pelajar sering dikaitkan dengan bidang akademik atau sukan, kini seni persembahan turut menjadi medan untuk anak muda negara membuktikan kemampuan mereka di pentas dunia.

Iklan
Iklan

Perkara itu dibuktikan oleh Kumpulan Tarian Citra Pawana dari Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM) apabila berjaya meraih Anugerah Emas pada International Youth Performing Arts Centre (YPAC) Jakarta 2026 di Teater Wahyu Sihombing, Jakarta, Indonesia.

Mereka juga menerima tawaran biasiswa penuh untuk menyertai Malaysia Arts Festival yang dijadual berlangsung November depan.

Iklan

Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, kejayaan Citra Pawana bukan sahaja membanggakan warga sekolah, malah menjadi bukti bahawa bakat seni yang dipupuk sejak usia muda mampu membawa pelajar melangkah jauh hingga ke peringkat antarabangsa.

"Mewakili Malaysia dalam pertandingan yang menghimpunkan peserta dari pelbagai negara, Citra Pawana berjaya menonjolkan persembahan memukau menerusi gabungan teknik tarian mantap, kreativiti koreografi dan penghayatan budaya yang mendalam. 

Iklan

"Setiap gerakan dipersembahkan bukan sekadar mempamerkan kemahiran menari, tetapi turut membawa cerita tentang kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat Malaysia.

"Keunikan itulah yang menjadi kekuatan pasukan berkenaan sehingga berjaya menarik perhatian juri serta penonton sepanjang pertandingan berlangsung," maklum kenyataan itu.

Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk terus mengejar impian dan mengangkat nama negara melalui bidang diminati.