Kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kapar menguasai Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sepak Takraw Klang 2026 membuktikan sukan warisan negara itu terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Semangat murid untuk menceburi sepak takraw turut disemarakkan kejayaan skuad negara muncul juara dunia selepas menewaskan Thailand baru-baru ini.
Kemenangan itu bukan sahaja membangkitkan rasa bangga rakyat Malaysia, malah mencetus inspirasi kepada lebih ramai murid untuk mengenali dan mendalami sukan yang menuntut kemahiran, disiplin serta semangat berpasukan.
Jurulatih SK Bukit Kapar, Wahmizan Othman berkata, minat murid terhadap sepak takraw kini meningkat didorong liputan meluas serta populariti sukan itu yang kembali mencuri perhatian.
“Fenomena itu berlaku selepas kejayaan skuad sepak takraw negara juara dunia dengan menewaskan Thailand.
“Kejayaan itu bukan sahaja membangkitkan rasa bangga rakyat Malaysia, malah melahirkan pemain bertaraf dunia yang menjadi idola dan sumber inspirasi kepada murid untuk menceburi sukan ini,” katanya kepada Sinar Bestari.
Menurutnya, latihan sepak takraw bukan sekadar membantu meningkatkan kecergasan fi zikal, malah membentuk disiplin, keyakinan diri dan semangat kerjasama dalam kalangan murid sejak usia muda.
Usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila skuad SK Bukit Kapar melakar kejayaan membanggakan dalam MSSD Sepak Takraw Klang 2026 dengan SKBK A dan SKBK B, mara ke pentas akhir.
Pertemuan dua pasukan dari sekolah yang sama pada aksi fi nal membuktikan kekuatan pembangunan bakat yang dilaksanakan di sekolah itu.
SKBK A muncul juara, manakala SKBK B bergelar naib juara, sekali gus melayakkan keduadua pasukan mewakili daerah Klang ke peringkat seterusnya.
Rejaman uji keberanian
Dalam sukan sepak takraw, setiap kemahiran memainkan peranan penting, namun bagi murid sekolah rendah, teknik rejaman dianggap paling mencabar untuk dikuasai.
Berbanding servis atau hantaran yang boleh diperkemas melalui latihan berulang, rejaman memerlukan keberanian, keyakinan diri serta keupayaan melakukan pergerakan akrobatik dalam tempoh singkat bagi menghasilkan pukulan yang tepat dan bertenaga.
Menurut Wahmizan, penguasaan teknik itu bukan hanya bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata.
Walau bagaimanapun, pemain perlu memiliki ketangkasan, koordinasi badan yang baik serta ketepatan masa ketika melompat dan aksi sentuhan pada bola.
“Kesemua elemen ini perlu digabungkan secara serentak bagi memastikan rejaman yang dilakukan bukan sahaja berkesan menghasilkan mata, malah selamat dipraktikkan,” jelasnya.
Beliau berkata, latihan kemahiran itu memerlukan kesabaran dan bimbingan berterusan kerana murid perlu menguasai asas terlebih dahulu sebelum mencuba aksi yang lebih sukar.
“Apabila keberanian dipadankan dengan teknik yang betul serta latihan konsisten, rejaman bukan lagi sekadar aksi memukau di gelanggang, sebaliknya menjadi senjata utama yang mampu mengubah keputusan sesuatu perlawanan,” ujarnya.
Juara bukan penamat
Bagi Wahmizan, kejuaraan MSSD bukan penamat perjalanan, sebaliknya menjadi titik permulaan melahirkan lebih ramai pemain yang mampu melangkah ke pentas lebih tinggi.
Katanya, fokus pasukan kini beralih kepada persiapan menghadapi Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS), malah enam pemain SK Bukit Kapar turut dipanggil menyertai sesi pemilihan bagi mewakili daerah Klang.
“Latihan tetap diteruskan walaupun pasukan sudah mengecap kejayaan. Saya sanggup mengadakan sesi latihan pada waktu malam bagi memastikan pemain terus meningkatkan kemahiran dan bersedia sekiranya terpilih beraksi di peringkat MSSS mahupun Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM),” katanya.
Lebih membanggakan, usaha membangunkan bakat murid tidak terhenti apabila mereka menamatkan persekolahan di peringkat rendah.
Wahmizan berkata, beliau sentiasa bekerjasama dengan jurulatih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar bagi memastikan pemain berbakat meneruskan latihan dan pembangunan sebaik ke sekolah menengah.
Beliau percaya kesinambungan latihan itu penting bagi memastikan bakat yang dicungkil sejak di bangku sekolah rendah tidak terhenti di pertengahan jalan.
Reaksi
"Saya mula minat bermain takraw sebab selalu tengok abangabang dan kawankawan bermain di sekolah. Bila saya cuba bermain, rasa seronok dan terus berminat untuk berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh.” - Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kapar, Muhammad Alif Nifail Mohd Nizam, 12.
"Ibu bapa saya sentiasa memberi semangat. Selain itu, cikgu dan jurulatih juga banyak mengajar, membimbing dan memberi galakan supaya saya terus berusaha.” - Pelajar SK Bukit Kapar, Muhammad Ammar Mirza Abdul Latif, 12.
"Saya berharap dapat terus bermain sehingga di sekolah menengah, mewakili negeri, malah kalau ada rezeki ingin mewakili Malaysia suatu hari nanti.” - Pelajar SK Bukit Kapar, Tengku Fadil Zakwan Tengku Khairul Izham, 12.
"Idola saya ialah Farhan Adam kerana beliau seorang pemain yang hebat, berdisiplin dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk negara.” - Pelajar SK Bukit Kapar Indah, Muhammad Arasy Rafael Mohd Faizal, 12.