Semai patriotisme, bukan sekadar dirai

Iklan

Kibarkan Jalur Gemilang, hidupkan semangat patriotik bersama Sinar Bestari!

Setiap kali tibanya Bulan Kebangsaan, sekolah antara lokasi paling meriah dalam menyemarakkan semangat cintakan negara.

Daripada kibaran Jalur Gemilang yang menghiasi setiap sudut sekolah hingga pelbagai aktiviti kreatif melibatkan murid dan guru, semuanya menjadi simbol penyatuan serta penghargaan sejarah kemerdekaan Malaysia.

Iklan
Iklan

Menyedari peranan penting institusi pendidikan dalam membentuk generasi berjiwa patriotik, Sinar Bestari tampil menggerakkan kempen khas dengan membuka peluang kepada sekolah rendah dan menengah di seluruh negara untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan.

Melalui liputan istimewa serta aktiviti interaktif, kempen ini diharapkan mampu menghidupkan semangat patriotisme dalam jiwa setiap murid.

Iklan

Sebagai media yang dekat dengan dunia pendidikan, Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin berkata, pihaknya memikul tanggungjawab untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan murid melalui pendekatan lebih kreatif, santai dan dekat dengan generasi kini.

Meen (dua dari kanan) bersama barisan pentadbiran SK Raja Muda, Shah Alam sempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun lalu.

Iklan

"Peranan Sinar Bestari bukan sekadar membuat liputan, tetapi menjadi sebahagian daripada usaha membina jiwa patriotik dalam kalangan murid.

“Walaupun kita berada dalam era digital, semangat cintakan negara sentiasa relevan. Apa yang penting, bagaimana kita menggunakan semua platform yang ada untuk menyampaikan mesej patriotisme dengan cara menarik dan memberi kesan kepada generasi muda," katanya.

Untuk rekod, pengalaman bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda, Shah Alam pada sambutan Hari Kebangsaan yang berlangsung pada 29 Ogos tahun lalu, menjadi bukti bagaimana program seumpama ini menghidupkan suasana sekolah.

Kehadiran kru Sinar Bestari ketika itu bukan sekadar membuat liputan, malah bersama-sama memeriahkan sambutan melalui pelbagai aktiviti interaktif yang mendapat sambutan menggalakkan daripada murid dan guru.

"Gelak tawa, sorakan dan semangat murid mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang program mencipta kenangan manis yang masih dikenang sehingga hari ini.

"Antara aktiviti seperti sesi nyanyian lagu Negaraku, Jalur Gemilang dan lagu-lagu patriotik yang menyatukan warga sekolah dalam suasana penuh semangat," katanya.

Ujar Meen Tahrin, murid boleh menguji pengetahuan menerusi slot kuiz Merdeka yang mengupas sejarah negara, tokoh kemerdekaan dan fakta menarik mengenai Malaysia.

Turut disediakan slot pakaian beragam kebangsaan yang memberi peluang kepada murid menampilkan keunikan budaya pelbagai kaum, sekali gus memupuk semangat perpaduan yang juga asas kekuatan negara.

“Program ini dimeriahkan dengan slot bersama penaja yang menawarkan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik kepada murid.

“Tidak ketinggalan, ruang khas doodles bertemakan Hari Kebangsaan ke-69 yang membolehkan murid meluahkan rasa cinta kepada negara melalui lakaran, ilustrasi dan mesej kreatif mengikut imaginasi masingmasing,” katanya lagi.

Kehadiran Sinar Bestari ke sekolah bukan sekadar merakam momen istimewa, malah menjadi pemangkin kepada usaha menyemai semangat patriotisme, perpaduan dan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.