Sambutan luar jangkaan diterima Sinar Bestari menerusi tiga pertandingan yang dianjurkan sempena program Riuh BOLA SINAR x redONE Mobile x RTM di Restoran Hakim, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor pada Ahad.
Tiga pertandingan tersebut iaitu Gelecek Bola MANTAP redONE Mobile, Gol 'Celebration' JUARA redONE Mobile dan Ulasan Bola Pro redONE Mobile berjaya menarik perhatian pengunjung, khususnya kanak-kanak dan remaja yang hadir bersama keluarga.
Sejak awal program berlangsung, ruang pertandingan dipenuhi peserta yang tidak melepaskan peluang untuk mencabar kebolehan masing-masing.
Malah, ada yang sanggup menunggu giliran dengan penuh teruja bagi menunjukkan bakat dan kreativiti mereka di hadapan penonton.
Menurut Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak, penyertaan kali pertama portal pendidikan itu dalam program berkonsepkan bola sepak ternyata memberikan pengalaman yang cukup bermakna.
"Sejujurnya, kami tidak menjangkakan sambutan yang begitu menggalakkan daripada para peserta. Ini membuktikan bahawa pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki bakat dan keyakinan yang tinggi dalam bidang sukan.
"Menerusi pertandingan Gelecek Bola MANTAP redONE Mobile, peserta mempamerkan kawalan bola yang baik, kreativiti serta keberanian untuk beraksi di hadapan khalayak.
"Bagi pertandingan Ulasan Bola Pro redONE Mobile pula, ramai peserta berjaya membuat ulasan secara spontan dengan penuh yakin. Ada yang mampu mengulas seperti pengulas sukan profesional dengan gaya tersendiri dan penggunaan bahasa yang menarik," katanya.
Terdahulu, Gelecek Bola MANTAP redONE Mobile menawarkan dua kategori umur iaitu tujuh hingga 12 tahun dan 13 hingga 17 tahun.
Pertandingan Gol 'Celebration' JUARA redONE Mobile yang menampilkan aksi sambutan gol paling kreatif dibuka kepada peserta berusia tujuh hingga 14 tahun.
Bagi pertandingan Ulasan Bola Pro redONE Mobile pula, dua kategori dipertandingkan iaitu tujuh hingga 12 tahun serta 13 hingga 17 tahun.
Sebagai pembakar semangat, para pemenang membawa pulang hadiah wang tunai dan barangan eksklusif yang disediakan oleh penganjur.