Sukar untuk kita membayangkan kehidupan hari ini tanpa gajet. Telefon pintar, tablet dan komputer telah menjadi sebahagian daripada rutin harian, termasuk dalam kehidupan anak-anak. Malah, sejak usia prasekolah lagi, ramai kanak-kanak sudah terdedah kepada dunia digital sama ada untuk belajar, berinteraksi dan akses kepada pelbagai sumber maklumat
Namun, persoalan yang sering dibangkitkan oleh ibu bapa ialah: adakah penggunaan gajet membantu perkembangan anak atau sebenarnya memudaratkan mereka? Pada pandangan saya, isu sebenar bukanlah berapa lama anak menggunakan gajet, tetapi bagaimana gajet itu menyumbang kepada proses pembelajaran dan perkembangan mereka.
Teknologi merupakan salah satu pencapaian terbesar manusia. Dalam bidang pendidikan, gajet membuka peluang yang luas kepada pembelajaran. Pelajar boleh meneroka dunia angkasa melalui simulasi tiga dimensi, menjalankan eksperimen sains secara maya, mengakses perpustakaan digital dan mengikuti pembelajaran interaktif yang sebelum ini sukar dibayangkan.
Dalam penyelidikan saya mengenai minat Sains, saya mendapati bahawa teknologi mampu menjadi pemangkin kepada pembelajaran apabila digunakan dengan pendekatan yang betul. Kemunculan AI, platform pembelajaran adaptif, simulasi makmal maya dan teknologi realiti maya (VR) memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka konsep Sains dengan lebih interaktif. Teknologi bukan sahaja membantu mereka memahami konsep yang kompleks, malah mampu merangsang rasa ingin tahu yang menjadi asas kepada pembelajaran Sains.
Namun begitu, manfaat tersebut hanya dapat dicapai apabila penggunaan gajet disertai dengan bimbingan. Cabaran utama hari ini bukanlah gajet itu sendiri, tetapi penggunaan tanpa kawalan. Pendedahan yang berlebihan kepada kandungan hiburan dan media sosial boleh mengurangkan daya tumpuan, menjejaskan tabiat membaca serta mengehadkan interaksi sosial secara bersemuka. Kanak-kanak mungkin memperoleh maklumat dengan pantas, tetapi kurang berpeluang membina kemahiran berfikir secara mendalam.
Sebagai penyelidik pendidikan, saya percaya budaya membaca masih perlu menjadi asas kepada pembelajaran. Gajet boleh menyampaikan maklumat, tetapi membaca membina kefahaman, imaginasi dan pemikiran kritikal. Kedua-duanya tidak seharusnya bersaing, sebaliknya saling melengkapi.
Begitu juga dalam pembelajaran Sains. Rasa ingin tahu tidak lahir daripada skrin semata-mata. Ia berkembang melalui pengalaman sebenar seperti menjalankan eksperimen mudah di rumah, meneroka alam semula jadi, bertanya soalan dan berbincang bersama ibu bapa serta guru.
Peranan ibu bapa menjadi semakin penting dalam era digital. Daripada hanya menghadkan masa penggunaan gajet, ibu bapa perlu membantu anak memilih kandungan yang berkualiti dan sesuai dengan usia mereka. Lebih penting lagi, ibu bapa perlu menjadi contoh. Sukar untuk kita menggalakkan anak membaca sekiranya mereka melihat orang dewasa sentiasa menghadap telefon.
Saya juga percaya bahawa keseimbangan perlu menjadi prinsip utama dalam mendidik anak-anak hari ini. Masa untuk membaca, bermain di luar, bersukan, berinteraksi dengan keluarga dan menggunakan teknologi perlu diseimbangkan agar perkembangan fizikal, emosi dan intelek dapat berlaku secara menyeluruh.
Akhirnya, gajet bukanlah musuh kepada pendidikan dan ia juga bukan penyelesaian kepada semua cabaran pembelajaran. Yang menentukan keberkesanannya ialah bagaimana kita sebagai ibu bapa, guru dan masyarakat membimbing anak-anak menggunakannya dengan bijaksana.
Teknologi akan terus berkembang, tetapi tanggungjawab mendidik tetap berada di tangan manusia. Apabila teknologi dipandu oleh ilmu, nilai dan kasih sayang, barulah ia menjadi alat yang memperkayakan pembelajaran, bukan menggantikannya.
Maklumat penulis:
Felo Universiti Kebangsaan Malaysia, Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my