"Persaraan ini bukanlah pengakhiran sebuah perjalanan, tetapi permulaan kepada lembaran baharu dalam kehidupan saya. Walaupun menamatkan perkhidmatan sebagai seorang pengetua, doa dan kasih sayang saya terhadap sekolah ini tidak akan pernah berakhir."
Demikian luahan penuh sebak Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Redang Panjang, Batu Kurau, Perak, Ustaz Ahmad Bakhtier Muslim ketika menyampaikan ucapan pada majlis persaraannya pada Selasa.
Beliau berkata, sepanjang menerajui sekolah itu sejak 18 Oktober 2023 hingga 20 Julai lalu, pelbagai pengalaman, kenangan manis, cabaran dan suka duka telah dilalui bersama warga sekolah.
Menurutnya, setiap detik yang dilalui di SMK Redang Panjang menjadi kenangan yang amat bermakna dan akan sentiasa terpahat dalam ingatan.
"Saya akan sentiasa mengingati sekolah ini, para pelajar, guru-guru dan seluruh warga SMK Redang Panjang yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya," katanya.
Sementara itu, beliau turut menitipkan pesanan kepada para pelajar agar terus berusaha menimba ilmu serta membina sahsiah diri yang cemerlang.
"Kepada anak-anak pelajar yang saya kasihi, teruslah belajar dengan tekun, berakhlak mulia, menghormati ibu bapa dan guru serta berani mengejar cita-cita.
"Ingatlah, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, tetapi juga melalui akhlak, integriti dan sumbangan kepada masyarakat," ujarnya.
Ustaz Ahmad Bakhtier yang telah berkhidmat sebagai pendidik selama 34 tahun turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga sekolah yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Anak kelahiran Semeling, Bedong, Kedah itu turut mendoakan agar SMK Redang Panjang terus melakar kecemerlangan serta melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
“Terima kasih atas segala kenangan yang indah. Selamat tinggal sebagai pengetua, namun insya-ALLAH kita tidak pernah berpisah sebagai sahabat dan rakan seperjuangan,” katanya mengakhiri ucapan.
INFO
Anugerah/Pencapaian
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2004, 2013 dan 2025
- Tokoh Guru Sukarelawan Parlimen Larut 2021
Sumbangan Penglibatan Tahun (Peringkat Kebangsaan)
1) Ahli Panel - Penggubal, Pemurnian & Kawalan Mutu Bahan Kurikulum Tasawwur Islam Terbitan Bahagian Pendidikan Islam, KPM (2002-2008)
2) Jurulatih Utama Kebangsaan - Kursus Perealisasian Item Kursus-kursus Tasawwur Islam, BPK, KPM 2002-2008
3) Ahli Panel (2011-2017)
- Pembinaan, Pemurnian, Kawal Mutu Intrumen Pemantauan Tasawwur Islam
- Kajian Peperluan Pelaksanaan Kurikulum Tasawwur Islam
- Kawal Mutu Kajian Keperluan Pelaksanaan Kurikulum Tasawwur Islam
- Penggubal, Pemurnian & Kawalan Mutu sukatan pelajaran Tasawwur Islam KSSM 2017 BPK, KPM.
- Penggubal, Pemurnian & Kawalan Mutu Soalan Modul Berfokus Tasawwur Islam, Bahagian Pendidikan Islam, KPM.
- Penggubal, Pemurnian & Kawalan Mutu Modul PdP Tasawwur Islam, Bahagian Pendidikan Islam, KPM
- Pemantau Program Intervensi Dan Konsultasi Berfokus Kecemerlangan Pendidikan Islam, Bahasa Arab Dan Pengajian Islam Elektif Di Sekolah-sekolah KPM.
- Penggubal, Pemurnian & Kawalan Mutu Modul PdP PA21 Tasawwur Islam, Bahagian Pendidikan Islam, KPM