Kesihatan mental bermula dengan komunikasi

Iklan
Gambar hiasan

Kesihatan mental bukan sekadar berkaitan emosi atau psikologi, tetapi turut dipengaruhi oleh cara seseorang berkomunikasi dengan orang di sekelilingnya. Dalam dunia pendidikan hari ini, komunikasi dua hala semakin penting bagi memastikan pelajar tidak berdepan tekanan secara bersendirian. Sama ada di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT), ruang untuk bercakap, didengari dan difahami merupakan antara faktor yang mampu mengurangkan tekanan sebelum ia berkembang menjadi masalah yang lebih serius.

Mutakhir ini, semakin ramai pelajar gagal menghantar tugasan mengikut tempoh yang ditetapkan, tidak menghadiri kelas, mengambil keputusan menangguhkan pengajian dan memilih untuk berhenti belajar kerana mendakwa berdepan masalah kesihatan mental. Realiti ini perlu diberi perhatian secara serius. Namun, dalam masa yang sama, setiap kes tidak boleh dinilai secara umum atau disamakan. Ada pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan profesional, manakala ada juga yang sebenarnya memerlukan sokongan komunikasi, bimbingan akademik dan kemahiran mengurus tekanan dengan lebih baik.

Iklan
Iklan

Di sinilah komunikasi dua hala memainkan peranan yang amat penting. Komunikasi bukan sekadar menyampaikan arahan daripada guru atau pensyarah kepada pelajar, sebaliknya melibatkan proses saling mendengar, memberi maklum balas dan membina persefahaman. Apabila pelajar berasa mereka boleh berkongsi kebimbangan tanpa takut dihukum atau dipandang negatif, mereka lebih cenderung mendapatkan bantuan lebih awal berbanding memendam masalah sehingga menjejaskan prestasi akademik.

Dalam bidang komunikasi, Social Penetration Theory menjelaskan bahawa hubungan yang baik terbina melalui proses perkongsian secara berperingkat. Pelajar tidak akan terus berkongsi masalah yang dihadapi jika mereka tidak merasakan wujudnya kepercayaan dan keselamatan psikologi. Justeru, komunikasi yang berempati menjadi asas kepada pembentukan hubungan yang lebih terbuka antara pelajar dengan guru, pensyarah, ibu bapa dan rakan sebaya.

Iklan

Begitu juga Uncertainty Reduction Theory yang menjelaskan bahawa komunikasi dapat mengurangkan kekeliruan dan kebimbangan seseorang. Seorang pelajar yang tidak memahami jangkaan pensyarah, bimbang terhadap prestasi akademik atau takut dipersalahkan mungkin memilih untuk mengasingkan diri. Sebaliknya, apabila wujud ruang dialog yang jelas dan terbuka, ketidakpastian tersebut dapat dikurangkan, sekali gus membantu pelajar membuat keputusan yang lebih rasional.

Malangnya, dalam era komunikasi digital, ramai pelajar lebih selesa memendam perasaan berbanding berbincang secara bersemuka. Ada yang hanya menghantar mesej ringkas memaklumkan tidak dapat hadir ke kelas atau gagal menghantar tugasan tanpa menjelaskan situasi sebenar. Lebih membimbangkan, terdapat juga pelajar yang terus menghilangkan diri daripada kelas selama beberapa minggu sebelum pihak universiti menyedari keadaan mereka. Situasi ini menunjukkan bahawa saluran komunikasi sebenarnya wujud, tetapi komunikasi dua hala tidak berlaku dengan berkesan.

Iklan

Komunikasi juga tidak boleh bersifat sehala. Pensyarah dan guru perlu menggalakkan budaya bertanya serta memberi maklum balas secara berkala, manakala pelajar perlu memikul tanggungjawab untuk memaklumkan keadaan sebenar sekiranya berdepan kesukaran. Hubungan akademik yang sihat bukan dibina atas rasa takut, tetapi atas dasar saling menghormati dan mempercayai.

Pada masa yang sama, kita juga perlu berhati-hati agar istilah"kesihatan mental" tidak digunakan secara umum bagi menjelaskan setiap kelewatan menghantar tugasan, ponteng kelas atau kegagalan mengurus masa. Kesihatan mental ialah isu yang serius dan memerlukan penilaian profesional. Menjadikannya alasan tanpa diagnosis atau sokongan yang sewajarnya bukan sahaja boleh menjejaskan integriti akademik, malah berisiko mengurangkan kefahaman masyarakat terhadap individu yang benar-benar memerlukan rawatan dan sokongan.

Oleh itu, pendekatan terbaik ialah membudayakan komunikasi yang terbuka, berempati dan bertanggungjawab dalam ekosistem pendidikan. Guru, pensyarah, ibu bapa dan pelajar perlu melihat komunikasi sebagai jambatan yang menghubungkan cabaran dengan penyelesaian, bukannya sekadar medium menyampaikan maklumat. Dalam banyak keadaan, seseorang pelajar tidak semestinya memerlukan jawapan kepada semua masalahnya. Mereka hanya memerlukan seseorang yang benar-benar sudi mendengar.

Kesihatan mental bukan bermula apabila seseorang mendapatkan rawatan, tetapi bermula apabila seseorang berani bercakap dan ada individu lain yang bersedia mendengar. Apabila komunikasi dua hala menjadi budaya dalam pendidikan, kita bukan sahaja melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut akademik, malah individu yang mempunyai daya tahan, empati dan keberanian untuk mendapatkan bantuan pada waktu yang tepat.

Maklumat penulis

Pensyarah Komunikasi Digital, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Miharaini Md Ghani