Anak Orang Asli, Norfadela bakal bergelar guru, banggakan komuniti suku kaum Jakun!

Iklan
Norfadela (kiri) berkata, kejayaan yang dikecapinya hari ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan ibu bapa, ahli keluarga serta guru-guru yang sentiasa memberi dorongan sepanjang pengajiannya. Foto: Facebook Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA)

Kejayaan Norfadela Logang menamatkan pengajian dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada keluarganya, malah seluruh komuniti Orang Asli.

Lebih bermakna, kejayaan anak jati Orang Asli daripada suku kaum Jakun itu membuktikan bahawa kesungguhan, keazaman dan pendidikan mampu membuka ruang kepada generasi Orang Asli untuk melakar kecemerlangan serta membina masa depan yang lebih baik.

Iklan
Iklan

Menurut Norfadela, cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik lahir daripada inspirasi yang diterimanya daripada guru-guru yang pernah membimbingnya.

"Sebelum ini, saya menyaksikan kesungguhan para guru dalam mendidik dan membimbing pelajar sehingga mereka berjaya. Sejak detik itulah, saya tekad belajar bersungguh-sungguh dan mahu berkongsi ilmu sekali gus memberi manfaat kepada orang lain," katanya seperti dipetik menerusi hantaran Facebook Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA). 

Iklan

Foto: Facebook Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA)

Norfadela berkata, kejayaan yang dikecapinya hari ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan ibu bapa, ahli keluarga serta guru-guru yang sentiasa memberi dorongan sepanjang pengajiannya.

Iklan

Katanya, motivasi terbesar adalah untuk melihat lebih ramai anak Orang Asli berjaya dalam bidang pendidikan dan berani mengejar cita-cita.

"Pendidikan ialah kunci yang membuka peluang untuk mengubah kehidupan diri, keluarga dan komuniti. Teruskan berusaha, rajin belajar dan jangan mudah berputus asa apabila berdepan cabaran.

"Saya juga berharap akses kepada pendidikan berkualiti, kemudahan pembelajaran dan peluang pembangunan diri untuk anak-anak Orang Asli terus dipertingkatkan. Saya mahu melihat generasi muda Orang Asli mampu bersaing dengan yakin dan menjadi pemimpin yang menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.

Foto: Facebook Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA)

Kejayaan Norfadela bukan sekadar melakar pencapaian peribadi, malah menjadi bukti bahawa anak Orang Asli juga mampu berdiri sebaris dengan graduan lain apabila diberi peluang, sokongan dan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

INFO

Latar belakang pendidikan

  • Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya
  • Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA)
  • Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin Permai
  • SMK Nenasi
  • IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan

Anugerah/Pencapaian

  • Menyertai Kursus Kid Athletics anjuran Persatuan Olahraga Pahang
  • Kursus Peneraju Tunas Bridge Karisma IPGM STEM Challenge 2022/2023
  • Menyumbang khidmat bakti dalam Karnival STEM di SK Kuala Kenong
  • Menyertai program pendidikan di SK Pos Pasik yang turut dianjurkan IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan
  • Dianugerahkan gelaran Munsyi Siswa iaitu pengiktirafan kepada pelajar IPG yang ditauliahkan sebagai pakar dalam bidang Bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.