Alyssa Iris Namira juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Selangor 2026

Iklan
Para pemenang Pertandingan Akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026 bersama hadiah yang diterima selepas tamat pertandingan.

Bakat dan penghayatan puisi yang luar biasa membawa tuah kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh, Alyssa Iris Namira Helmi apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor Tahun 2026.

Alyssa berjaya memikat hati panel hakim menerusi deklamasi puisi 'Kedaulatan Bangsa' karya Abdul Karim Ghullam sekali gus mengungguli pertandingan tersebut.

Iklan
Iklan

Naib juara pula dimenangi pelajar SMK Jalan Reko, Wan Nur Zaakirah Wan Noralhakim Shaghir manakala Jamiatul Hai Riya Abdullah dari Sekolah Agama Menengah (SAM) Hulu Langat meraih tempat ketiga.

Ketiga-tiga pemenang mempamerkan penghayatan, lontaran suara dan penyampaian penuh berkesan sekali gus menyerlahkan bakat serta semangat patriotisme menerusi seni deklamasi puisi.

Iklan

Selain tiga pemenang utama, pertandingan akhir itu turut disertai pelajar dari SMK Pandan Indah, SMK Klang Utama, SMK Munshi Abdullah, SMK Serendah, SMK Seri Sepang dan Kolej Permata Pintar.

Terdahulu, pertandingan berkenaan dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala pengurusannya dikendalikan oleh Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI).

Iklan

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Negeri Selangor, Abdul Rahim Khalid di SK Seksyen 18, Shah Alam, Selangor. 

Turut hadir Guru Besar SK Seksyen 18, Mahindra Rajagopal; Presiden KEMUDI, Zainal Mohd Jais; Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid (UPBM), Sektor Pembangunan Murid, Faisal Abdullah, guru-guru dan ibu bapa peserta.