Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4, 2026 yang dijadual berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober depan, bukan sekadar pentaksiran biasa. Sebaliknya, ia platform penting bagi mengenal pasti tahap penguasaan sebenar murid terhadap kemahiran dan pembelajaran.
Menurut Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ab Aziz Mamat, pentaksiran itu berasaskan konsep pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) iaitu pendekatan yang menumpukan perkembangan murid dan bukan hanya pencapaian markah.
“Apabila murid dinilai ketika berada di Tahun 4, kita masih ada ruang membantu mereka membuat penambahbaikan apabila melangkah ke Tahun 5 seterusnya Tahun 6.
“Data yang dikumpulkan membolehkan pihak sekolah merancang intervensi bersasar mengikut keperluan setiap murid, sekali gus memastikan mereka menerima sokongan pembelajaran sesuai,” katanya.
Ujarnya, ibu bapa juga berperanan kerana dapatan pentaksiran dapat dijadikan panduan kenal pasti aspek perlu diperkukuh di rumah.