Rezeki tidak pernah salah alamat.
Begitulah yang dapat digambarkan terhadap kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghaffar Baba, Melaka apabila berjaya membawa pulang tiga anugerah dalam Pertandingan Sketsa Kepenggunaan Peringkat Zon Selatan Tahun 2026 baru-baru ini.
Berlangsung di Auditorium Panggung Sari, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Melaka, SMK Ghaffar Baba dinobatkan sebagai johan pertandingan sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000, mock cheque, hamper, sijil penyertaan, sijil johan dan piala.
Lebih membanggakan, sekolah itu turut meraih dua lagi pengiktirafan apabila Ahmad Aniq Zikry Zaiful Azlin dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, manakala pasukan sekolah menerima anugerah Sinografi Terbaik.
Kedua-dua kategori tersebut membawa hadiah wang tunai RM500, mock cheque serta sijil anugerah.
Kemenangan berganda tersebut pastinya menjadi detik manis buat seluruh warga SMK Ghaffar Baba.
Ia bukan sahaja mencerminkan bakat dan kreativiti pelajar, malah menjadi bukti bahawa kejayaan mampu diraih menerusi latihan yang konsisten, semangat berpasukan serta bimbingan guru yang komited.
Untuk rekod, Pertandingan Sketsa Kepenggunaan Peringkat Zon Selatan Tahun 2026 merupakan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pertandingan bertujuan menyampaikan dan menerapkan mesej berkaitan ilmu serta isu kepenggunaan kepada pelajar menerusi pendekatan seni persembahan.
Melalui pementasan sketsa, pelbagai elemen seperti lakonan, dialog, intonasi, gaya penyampaian, hiasan pentas dan penggunaan prop diterjemahkan secara kreatif bagi menarik minat penonton untuk memahami mesej kepenggunaan di samping mencungkil bakat pelajar dalam bidang kesenian.
Menurut kenyataan media yang diterima Sinar Bestari, pertandingan terbuka kepada pelajar sekolah menengah berusia antara 13 hingga 17 tahun di setiap negeri.
"Sekolah yang muncul juara pada pertandingan peringkat zon dan negeri akan mewakili negeri masing-masing ke Pertandingan Sketsa Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada September 2026," kongsi kenyataan itu.
Sebanyak lima buah sekolah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut iaitu SMK Ghaffar Baba, SMK Tun Haji Abdul Malek, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Selandar, SMK Gajah Berang dan SMK Durian Tunggal.
Kesemua sekolah yang bertanding menampilkan persembahan kreatif dengan mengangkat pelbagai isu berkaitan hak pengguna, amalan pembelian berhemah, kepentingan menjadi pengguna bijak serta tanggungjawab pengguna dalam kehidupan seharian.
INFO
Kedudukan sekolah dalam Pertandingan Sketsa Kepenggunaan Peringkat Zon Selatan Tahun 2026
- Johan - SMK Ghaffar Baba
- Naib Johan - SMK Gajah Berang
- Ketiga - SMK Tun Haji Abdul Malek
- Keempat (sagu hati) - Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Selandar
- Kelima (sagu hati) - SMK Durian Tunggal
- Pelakon Lelaki Terbaik - Muhammad Farhan Jahanzaib (SMK Tun Haji Abdul Malek)
- Pelakon Wanita Terbaik - Nur Ain Shazrina Mohammed Sharul Badri (SMK Gajah Berang)
- Skrip Terbaik - Nurul Fildza Insyirah Mohd Adzwan (SMK Tun Haji Abdul Malek)
- Pengarah Terbaik - Ahmad Aniq Zikry Zaiful Azlin (SMK Ghaffar Baba)
- Sinografi Terbaik - SMK Ghaffar Baba