Isu kepadatan sekolah perlu ditangani melalui perancangan strategik jangka panjang berasaskan data, selain langkah segera membina bilik darjah tambahan bagi memastikan keselesaan murid dan guru.
Pensyarah Kanan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membina bilik darjah tambahan merupakan langkah tepat bagi menangani keperluan semasa.
Bagaimanapun katanya, cabaran pendidikan hari ini memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan perancangan pembangunan sekolah, pengagihan sumber manusia serta penggunaan teknologi.
"Isu sekolah padat bukan hanya soal kekurangan bilik darjah, tetapi berkait rapat dengan perubahan taburan penduduk, pembangunan kawasan baharu dan keperluan pendidikan masa depan.
"Perancangan berasaskan data mampu membantu kerajaan mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian lebih awal sebelum kepadatan menjadi semakin kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah KPM membina bilik darjah tambahan bagi menangani masalah kepadatan sekolah di seluruh negara.
Menurut Hendrik, penggunaan teknologi termasuk analisis data dan kecerdasan buatan (AI) boleh membantu membuat unjuran lebih tepat terhadap keperluan sekolah, guru serta kemudahan pembelajaran.
Katanya, pelaburan dalam pendidikan tidak harus dilihat sekadar pembinaan bangunan, tetapi sebagai usaha strategik membangunkan modal insan negara.
"Bilik darjah mencukupi penting, namun suasana pembelajaran kondusif, sokongan guru dan kemudahan berkualiti adalah asas melahirkan generasi berdaya saing," katanya.
Tambah beliau, kerjasama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti perlu diperkukuhkan supaya pembangunan pendidikan bergerak seiring perubahan masyarakat.