Minat aliran Sains merosot, lepasan SPM perlu bimbingan 'kompas kerjaya'

Iklan
Pemilihan kursus bukan sekadar tentang memilih program yang popular, tetapi perlu mengambil kira minat, kelayakan akademik, kebolehpasaran dan hala tuju kerjaya agar pilihan yang dibuat benar-benar dapat menjadi langkah awal kepada masa depan yang lebih terjamin. Foto: Canva. Gambar kecil: Dr Mazatusziha

Isu kemerosotan bilangan pelajar yang memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang profesional berteraskan aplikasi sains di peringkat universiti kini menjadi krisis rantaian bakat (talent pipeline) yang menuntut intervensi segera pemimpin negara. Realitinya, cabaran utama negara bukanlah kekurangan pelajar aliran Sains di peringkat sekolah semata-mata, melainkan kegagalan memandu pelajar yang mempunyai latar belakang asas sains ini untuk memilih kursus universiti yang tepat.

Meskipun enrolmen kemasukan ke bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di universiti awam mencapai 58.6 peratus berdasarkan data sistem MyMOHES KPT, bilangan pelajar Sains Tulen di peringkat sekolah menengah kini berada pada tahap kritikal iaitu 15.2 peratus sahaja menurut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kesannya, wujud pembaziran bakat apabila pelajar yang mempunyai kelebihan latar belakang sains ini bertindak 'lari' memilih kursus yang tidak sepadan di universiti akibat ketiadaan bimbingan dan pendedahan kerjaya yang jelas sebelum mereka mengisi borang UPU Online.

Iklan
Iklan

Fenomena 'buta kerjaya' akibat pengaruh media sosial

Ramai lepasan SPM hari ini mengalami fenomena 'buta kerjaya' (career blindness) akibat terlalu dipengaruhi oleh apa yang tular atau nampak mudah di media sosial. Pelajar cenderung memilih bidang pengajian popular yang sering diuar-uarkan di platform digital, tanpa menyedari bahawa latar belakang aliran Sains yang mereka miliki di peringkat sekolah sebenarnya adalah kunci utiliti utama untuk menembus masuk ke dalam pasaran kerja digital moden.

Iklan

Tanpa bimbingan 'kompas kerjaya' yang betul, majoriti pelajar tersalah anggap bahawa meneruskan pengajian berteraskan aplikasi sains di universiti adalah satu jalan buntu yang hanya melayakkan mereka berkerjaya dalam sektor akademik sebagai guru atau pensyarah semata-mata. Kegagalan menterjemah nilai pasaran subjek sains sekolah ke dalam skop kerjaya industri untuk masa hadapan inilah yang menyebabkan ramai bakat muda bertindak berpindah ke aliran lain semasa mengisi permohonan UPU Online.

Jurang maklumat antara minat dan keperluan negara

Iklan

Situasi ini mendedahkan jurang maklumat yang amat besar antara minat pelajar dengan keperluan strategik negara. Malaysia kini sangat memerlukan sekitar 341,200 tenaga kerja pakar menjelang tahun 2030 dalam bidang penyelidikan, sains dan kejuruteraan untuk menyokong industri berteknologi tinggi. Pelajar tidak sedar bahawa asas kepada bidang moden seperti kecerdasan buatan (AI), mikrocip, semikonduktor dan sains data sebenarnya berakar daripada sains tulen seperti Fizik untuk pembuatan semikonduktor dan Matematik untuk algoritma AI. Oleh itu, pihak kaunselor dan modul bimbingan universiti perlu menjenamakan semula kursus berteraskan aplikasi sains ini dengan menghubungkannya terus kepada rantaian industri masa hadapan, bukannya sekadar bersandarkan kepada teori buku teks yang bersifat akademik semata-mata.

Menghapuskan stigma 'takut gagal' 

Selain isu kerjaya, lepasan SPM juga memerlukan bimbingan psikologi akademik yang kuat melalui kaunseling bagi menghapuskan stigma bahawa aliran sains di universiti akan merosakkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA). Stigma takut gagal ini membuatkan ramai pelajar cemerlang mengundurkan diri lebih awal kerana bimbang prospek kerja mereka terjejas jika tidak mendapat CGPA yang tinggi. Sudut bimbingan di peringkat institusi harus mendedahkan struktur sokongan yang wujud di universiti seperti program mentor-mentee, kumpulan belajar dan kelas sokongan akademik yang direka khas untuk membantu mereka bertahan serta memecahkan tembok ketakutan terhadap subjek STEM.

Intervensi awal selepas SPM, bukan saat akhir

Bagi mendepani cabaran ini, KPM dan KPT harus memanfaatkan tempoh menunggu keputusan SPM sebagai fasa intervensi awal yang strategik untuk mencorakkan minda pelajar, sekali gus mengelakkan bimbingan saat akhir yang tidak efektif. Langkah drastik ini memerlukan sinergi padu pihak industri menerusi penganjuran 'Karnival Orientasi Kerjaya STEM Masa Hadapan.' Platform ini wajib menampilkan golongan profesional seperti pakar kecerdasan buatan (AI) dan jurutera mikroelektronik yang mampu memberikan gambaran jelas mengenai prospek kerjaya berpendapatan tinggi, sekali gus membuktikan bahawa penguasaan asas sains di sekolah adalah pelaburan masa depan yang sangat berbaloi.

Sebagai rumusan, menyelamatkan rantaian bakat muda yang mempunyai latar belakang asas sains di sekolah merupakan satu pelaburan strategik yang tidak boleh diabaikan. Cabaran sebenar terletak pada keupayaan kita untuk mencorakkan hala tuju dan memberi inspirasi kepada lepasan SPM agar mereka memilih kursus universiti yang tepat dan bernilai tinggi. Keberhasilan Malaysia untuk berdiri sebagai gergasi teknologi moden, memelihara keselamatan siber, dan memacu ekonomi digital yang kompetitif di pentas antarabangsa akhirnya ditentukan oleh kualiti bimbingan kerjaya hulu (upstream) yang kita tawarkan kepada mereka hari ini.

Tip pilih kursus UPU untuk lepasan SPM

Bagi memastikan pilihan kursus UPU dibuat dengan tepat dan meningkatkan peluang untuk mendapat tempat di universiti, calon lepasan SPM perlu terlebih dahulu menyemak syarat khas bagi setiap kursus yang diminati. Jangan hanya bergantung pada syarat am kerana sesetengah program menetapkan keperluan khusus bagi subjek tertentu seperti Matematik, Matematik Tambahan atau Fizik.

Selain itu, calon disarankan untuk menyemak dan mengira markah merit menggunakan kalkulator merit rasmi UPU. Markah tersebut boleh dijadikan panduan dengan membandingkannya dengan markah merit kemasukan tahun sebelumnya bagi kursus yang ingin dipohon. Langkah ini dapat membantu calon membuat pilihan yang lebih realistik berdasarkan kelayakan masing-masing.

Calon juga perlu mengambil kira prospek pasaran kerja masa hadapan ketika memilih kursus pengajian. Bidang seperti teknologi digital, kejuruteraan perisian, sains data, kecerdasan buatan dan teknologi hijau antara bidang yang mempunyai permintaan tinggi seiring dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri.

Dalam menyusun pilihan pula, calon perlu membuat keputusan secara strategik dan realistik dengan meletakkan kursus yang paling diminati serta memenuhi syarat kelayakan pada pilihan teratas. Pilihan seterusnya boleh digunakan sebagai pelan sandaran dengan mempertimbangkan program yang mempunyai persaingan kemasukan lebih rendah.

Kesimpulannya, pemilihan kursus bukan sekadar tentang memilih program yang popular, tetapi perlu mengambil kira minat, kelayakan akademik, kebolehpasaran dan hala tuju kerjaya agar pilihan yang dibuat benar-benar dapat menjadi langkah awal kepada masa depan yang lebih terjamin.

Maklumat penulis:

Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Mazatusziha Ahmad

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my