'Kejayaan sebenar lahir murid berdisiplin, yakin'

Iklan

Bukti SMJK Sin Min angkat potensi setiap murid, bukan sekadar mengejar kemenangan

Pengiktirafan bukan sekadar trofi untuk dipamerkan, sebaliknya menjadi bukti sesebuah sekolah itu berjaya membina budaya kokurikulum yang hidup dan memberi impak kepada kemenjadian murid. 

Itulah nilai sebenar di sebalik Anugerah Inspirasi Kokurikulum 2025 yang mengangkat komitmen warga sekolah dalam melahirkan generasi seimbang, berdaya saing dan berjiwa pemimpin. 

Iklan
Iklan

Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sin Min, Ong Teik Ming berkata, kejayaan ini bukan lahir daripada usaha individu, tetapi hasil kerjasama erat pentadbir, guru-guru, jurulatih, murid dan ibu bapa yang bergerak seiring mencapai satu matlamat. 

“Bagi saya, pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat untuk sekolah terus berinovasi, mencungkil bakat baharu dan mengekalkan kecemerlangan kokurikulum pada masa hadapan,” katanya. 

Iklan

97 peratus murid aktif kokurikulum 

Bagi Teik Ming, kecemerlangan kokurikulum sekolah bukan sekadar diukur melalui jumlah penyertaan tetapi sejauh mana setiap murid diberi peluang untuk berkembang mengikut potensi masing-masing. 

Iklan

Menurutnya, dengan seramai 1,493 murid, sekolah itu berjaya merekodkan 97.75 peratus penyertaan aktif dalam kokurikulum selaras dengan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

“Hasil latihan yang sistematik, bimbingan berterusan guru dan sokongan padu ibu bapa, prestasi kokurikulum sekolah menunjukkan peningkatan membanggakan apabila GPS Kokurikulum melonjak daripada 1.78 pada tahun 2021 kepada 1.09 pada 2025. 

“Pencapaian keseluruhan turut meningkat daripada 80.5 peratus kepada 97.75 peratus, sekali gus membuktikan kejayaan sebenar bukan hanya melahirkan juara, tetapi membentuk murid berdisiplin, berkeyakinan dan berkarakter,” ujarnya. 

Bukan kerana satu pencapaian 

Identiti sekolah tidak dibina atas kejayaan dalam satu bidang semata-mata, sebaliknya keseimbangan antara akademik dan kokurikulum. 

Tambah Teik Ming, kecemerlangan sekolah terserlah menerusi kekuatan pasukan orkestra klasik, tarian tradisional dan kebudayaan, Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan inovasi, Kelab Bola Keranjang dan Pasukan St. John Ambulans. 

“Kejayaan sebenar bukanlah dikenali kerana satu pencapaian, tetapi keupayaan menyediakan ruang kepada setiap murid untuk menyerlah mengikut bakat dan minat masing-masing. 

“Pendekatan ini menjadi asas dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang, malah berkeyakinan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya lagi. 

Kejayaan SMJK Sin Min sebagai antara sekolah contoh dalam bidang kokurikulum bukanlah sesuatu yang dicapai dalam sekelip mata. 

Bukan itu sahaja, pencapaian sekolah ini bermula apabila mereka muncul Johan Sekolah Harapan Negara pada 2006, diikuti Anugerah Sekolah Cemerlang Harian Bandar (2007) dan Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan Peringkat Kebangsaan (2009). 

Bukan itu sahaja, Teik Ming mengakui SMJK Sin Min turut merangka hala tuju yang jelas menerusi Pelan Strategik Sekolah dengan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memperluas penyertaan dan kejayaan murid hingga ke antarabangsa. 

“Menerusi asil usaha konsisten, sekolah kami terus mengukir kejayaan menerusi Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum peringkat kebangsaan dan negeri. 

“Ia juga dapat mengukuhkan reputasi sebagai sekolah yang unggul dalam melahirkan murid-murid serba boleh,” katanya lagi.