Bermula daripada satu masalah yang diperhatikan di sekolah, empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak, Sabah tampil dengan idea kreatif yang akhirnya membawa Kelab Kerjaya sekolah itu meraih Anugerah Platinum dalam Karnival Pendidikan Kerjaya, Inovasi dan STEM Peringkat Negeri Sabah (KERINOV) 2026 baru-baru ini.
Inovasi dikenali sebagai Metakaunsel itu bukan sekadar menghasilkan produk untuk pertandingan, sebaliknya menjadi bukti bahawa masalah di sekeliling boleh diterjemahkan menjadi idea bernilai apabila pelajar diberikan ruang untuk mencipta, mencuba dan melakukan penambahbaikan.
Guru Inovasi dan Pembimbing, Cikgu Jumat Mat Salleh berkata, kejayaan tersebut sangat bermakna kerana ia mengiktiraf usaha dan kreativiti pelajar sepanjang membangunkan inovasi berkenaan.
"Kami mempertandingkan inovasi yang dinamakan Metakaunsel. Idea ini lahir daripada pemerhatian terhadap masalah di Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah, apabila mendapati masih ada pelajar kurang berminat mendapatkan khidmat kaunseling.
"Jadi, inovasi ini menggabungkan platform metavers dan kaunseling bagi menarik minat pelajar mendapatkan khidmat bimbingan dan kaunseling secara virtual,” katanya kepada Sinar Bestari.
Menurutnya, pembangunan Metakaunsel turut memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar apabila mereka sendiri memainkan peranan dalam proses menghasilkan inovasi tersebut.
"Sepanjang proses pembangunan, pelajar sendiri terlibat memberikan idea, menguji fungsi dan menambah baik hasil berdasarkan maklum balas.
"Jadi, Anugerah Platinum itu sangat bermakna kerana ia bukan sahaja mengiktiraf produk akhir, tetapi juga usaha, kreativiti dan pembelajaran yang berlaku sepanjang perjalanan projek ini," ujarnya.
Empat pelajar, satu impian
Di sebalik kejayaan Metakaunsel, terdapat empat Young Developer yang menjadi penggerak utama inovasi berkenaan iaitu Noraqlan Rifqi Norazmi selaku ketua, Muhammad Ali Qawi Muhammad Adam (teknikal), Muhamad Amin Rampuasa (analisis data) dan Nurul Aina Umairah Ahad (pengurusan dokumentasi).
Cikgu Jumat berkata, setiap pelajar mempunyai peranan tersendiri, namun kekuatan sebenar mereka terletak pada kesanggupan untuk saling membantu dan bekerja sebagai satu pasukan.
"Masing-masing mempunyai peranan yang berbeza tetapi saling melengkapi. Walaupun pembahagian tugas dibuat, mereka tetap saling membantu apabila ada kesukaran.
"Saya melihat sendiri bagaimana mereka belajar mendengar pandangan rakan, menerima teguran dan membuat keputusan bersama.
"Kejayaan ini bukan hasil seorang individu. Ia lahir daripada kekuatan empat pelajar yang sanggup belajar, mencuba dan memikul tanggungjawab sebagai satu pasukan,” katanya.
Menurutnya lagi, kesungguhan empat pelajar itu semakin terserlah ketika mereka membuat persediaan menghadapi pertandingan.
Mereka sanggup hadir berlatih, menerima teguran dan memperbaiki kelemahan tanpa mudah berputus asa.
"Mereka juga benar-benar memahami inovasi yang dibangunkan. Sebab itulah pembentangan mereka kelihatan lebih yakin dan tulen.
"Saya yakin faktor terbesar kejayaan ini ialah kesungguhan dan kerjasama pasukan," katanya.
Sokongan jadi pencetus kejayaan
Sementara itu, Cikgu Jumat turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pentadbir sekolah, guru-guru, ibu bapa serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan berkenaan.
Katanya, bimbingan berterusan amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya mengejar kemenangan, tetapi memahami setiap proses yang dilalui ketika menghasilkan sesuatu inovasi.
"Saya cuba memastikan pelajar tidak hanya mengejar kemenangan, tetapi memahami proses penyelidikan, pembangunan dan komunikasi.
"Bagi saya, pertandingan hanyalah satu platform. Yang lebih penting ialah pengalaman dan ilmu yang mereka peroleh sepanjang proses itu," ujarnya.
Mengulas mengenai pelajar yang berminat menceburi bidang inovasi, STEM dan pembangunan teknologi tetapi masih tidak tahu bagaimana untuk bermula, Cikgu Jumat berpesan supaya mereka tidak takut mencuba.
"Jangan tunggu sehingga kita berasa benar-benar hebat untuk mula mencuba. Semua inovasi bermula daripada satu masalah, satu persoalan dan keberanian untuk mencari jalan penyelesaian.
"Jangan takut jika idea pertama tidak menjadi atau hasil awal masih belum sempurna. Kegagalan itu sebenarnya sebahagian daripada proses menjadi lebih baik," katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya membina sikap ingin tahu, rajin bertanya serta bersedia belajar daripada guru, rakan dan sumber yang dipercayai.
Katanya, walaupun teknologi sentiasa berubah, nilai seperti disiplin, kerja berpasukan, integriti dan empati tetap menjadi asas penting dalam melahirkan pencipta teknologi yang berjaya.
"Saya berharap lebih ramai pelajar SMK Madai berani tampil sebagai pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna.
"Gunakan ilmu untuk menyelesaikan masalah dan memberi manfaat kepada orang lain. Ingatlah, idea anak muda mungkin bermula kecil, tetapi dengan usaha dan bimbingan, ia mampu mencipta perubahan yang besar," jelasnya.