Dalam mengharungi kehidupan seharian, wanita turut berdepan pelbagai risiko ketika menguruskan keluarga dan rumah tangga.
Perlindungan sosial ini juga bukan sekadar untuk golongan pekerja sektor swasta atau suri rumah, malah penjawat awam juga boleh mendapatkan perlindungan melalui skim Lindung Kasih yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Bagi Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18 (1), Nurul Fadhilah Salleh, perlindungan seumpama ini amat relevan dalam memastikan wanita sentiasa mempunyai jaringan keselamatan sekiranya berdepan perkara tidak diingini.
“Program sebegini bagus kerana memberikan pendedahan kepada guru-guru atau penjawat awam bahawa caruman Lindung Kasih ini berguna untuk wanita dan suri rumah.
“Bagi saya sebagai seorang ibu dan guru, risiko yang tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa. Jadi, perlindungan ini sangat berguna dan sesuai untuk semua wanita,” katanya kepada Sinar Bestari.
Untuk rekod, PERKESO memperkenalkan Lindung Kasih iaitu skim perlindungan sosial khusus untuk suri rumah dan wanita.
Dengan caruman serendah RM120 setahun, skim ini menawarkan perlindungan terhadap risiko tertentu yang boleh menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan keluarga.
Ujar Nurul Fadhilah, kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial dalam kalangan wanita perlu terus dipertingkatkan supaya lebih ramai mengetahui manfaat yang tersedia dan tidak menganggap perlindungan hanya diperlukan selepas berlaku sesuatu kejadian.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti disediakan bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan perkongsian, ilmu dan memberi inspirasi.
Peserta berpeluang menyertai pelbagai pengisian yang dirancang bagi mencipta pengalaman bermakna, di samping membuka ruang untuk mereka berinteraksi, berkongsi cerita dan membina keyakinan.
Antara pengisiannya adalah audio siar Bual Bestari yang mengetengahkan sesi borak santai bersama hos, Anim Ezzati dan panelnya iaitu Pengurus Pejabat PERKESO Putrajaya, Norliza Noordin serta wakil orang berinsurans, Azlina Sagir.
Tidak kurang menarik, program turut diserikan dengan Talk Empowerment’s daripada Pakar Pembangunan Wanita, Dr Suffia Hany bagi memberik suntikan semangat dan motivasi kepada peserta untuk lebih mengenali potensi diri masing-masing.
Bukan itu sahaja, guru-guru turut bergelak tawa menyertai sesi grooming bersama Wardah.