Temasya sukan bukan sekadar medan untuk menguji keupayaan fizikal, malah menjadi platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim, membina keyakinan diri dan memupuk semangat berpasukan dalam kalangan warga sekolah.
Itulah kemeriahan yang dapat dilihat menerusi Temasya Sukan Tahunan Sekolah Rendah Islam Integrasi Puncak Jalil (SRIIPUJ) 2026 yang berlangsung di Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sabtu lalu.
Temasya berkenaan menghimpunkan kira-kira 1,500 murid dan 3,000 pengunjung, sekali gus menjadikan kawasan stadium meriah dengan sorakan, aksi sukan dan gelagat ceria murid.
Menurut Pengerusi Eksekutif SMZaki Education dan SRIIPUJ, Datuk Sheikh Mohd Zaki Sheikh Abdul Rahman, penganjuran temasya itu bukan hanya bertujuan meraikan Hari Sukan Tahunan Sekolah, tetapi turut memberi ruang kepada murid untuk belajar tentang nilai kehidupan melalui aktiviti sukan.
"Alhamdulillah, saya berasa amat bersyukur atas penganjuran Temasya Sukan Tahunan SRIIPUJ 2026 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang.
"Temasya ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi menjadi wadah untuk mendidik anak-anak murid mengamalkan gaya hidup sihat, membina disiplin, keyakinan diri dan semangat berpasukan serta menjunjung tinggi nilai kesukanan.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya titipkan kepada seluruh warga kerja SRIIPUJ dan guru-guru yang begitu komited, berdedikasi serta bertungkus-lumus dalam memastikan penganjuran sukan pada tahun ini berjalan dengan jayanya," katanya kepada Sinar Bestari.
Lebih menarik, program yang dikendalikan pengacara Datin Seri Heliza Helmi dan Hazwani Helmi itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang menghiburkan murid, ibu bapa serta komuniti yang hadir.
Antaranya termasuk persembahan pembukaan murid, gimik perasmian Temasya Sukan SRIIPUJ dan pra pelancaran produk tudung Nadi Rafa Hijab yang diasaskan Datin Siti Nadiah Mislan.
Nadi Rafa Hijab berkonsepkan ibu dan anak serta menawarkan tudung yang sesuai untuk semua peringkat umur, dengan penekanan terhadap kualiti premium pada harga mampu milik.
Dalam pada itu, kemeriahan temasya turut diserikan dengan pelbagai acara balapan seperti larian, lompat jauh, lontar peluru dan tarik tali, selain acara sukaneka yang turut melibatkan ibu bapa.
Bukan itu sahaja, murid dan pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti percuma seperti Inflatable Playground, Face Painting, Henna Art dan Badut Ceria.
Suasana bertambah gamat dengan 20 cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk hadiah utama sebuah motosikal Aveta tajaan Nadi Rafa Hijab.
Menurut Sheikh Mohd Zaki, penglibatan aktif murid, ibu bapa, guru dan komuniti membuktikan temasya sukan mampu menjadi medium untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan warga sekolah.
Beliau berharap penganjuran temasya berkenaan dapat terus menjadi platform untuk membentuk murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki keyakinan diri, disiplin, semangat kerjasama dan kecintaan terhadap gaya hidup sihat.