Kecerdasan Buatan (AI) telah mengubah landskap pendidikan secara ketara. Jika dahulu proses pencarian maklumat mengambil masa berhari-hari di perpustakaan, kini murid mampu memperoleh jawapan, visual, mahupun kod komputer dalam tempoh beberapa saat sahaja. Kepantasan AI yang serba pantas (fast-paced) ini secara tidak langsung melahirkan generasi murid yang dahagakan pembelajaran pantas (fast-learning).
Situasi ini meletakkan peranan guru di persimpangan jalan: Adakah metod pengajaran tradisional masih relevan atau guru perlu menstruktur semula aktiviti bilik darjah agar kekal mampan (sustainable)?
Hakikatnya, guru tidak boleh berlari menyaingi kelajuan algoritma AI. Jika guru fokus kepada 'penyampaian fakta semata-mata', pengajaran akan cepat lapuk dan melelahkan. Sebaliknya, metodologi pengajaran guru yang berubah perlu beralih kepada pedagogi mampan (sustainable pedagogy) iaitu kaedah pengajaran yang melatih murid cara berfikir, mengesahkan maklumat, dan berkomunikasi dengan teknologi, bukannya sekadar menghafal fakta.
Antara elemen penting dalam pengajaran mampan era baharu ini ialah penguasaan Prompt Engineering, iaitu kemahiran memberikan arahan yang jelas dan khusus kepada AI untuk mendapatkan maklumat atau hasil yang diperlukan. Untuk mendapatkan jawapan yang lebih tepat daripada AI, murid perlu belajar memberi arahan yang spesifik, tersusun dan mempunyai konteks yang jelas.
Proses mengkritik dan memperbaiki prompt ini secara tidak langsung melatih murid berfikir secara logik, bersistematik dan menganalisis maklumat dengan lebih mendalam.
Pada masa sama, guru perlu mewujudkan AI Verification Checkpoint atau stesen pengesahan AI dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Murid perlu dididik bahawa hasil daripada AI tidak boleh diterima bulat-bulat tanpa semakan.
Melalui pendekatan ini, murid boleh diminta membuktikan kesahihan maklumat yang diperoleh daripada AI menerusi rujukan seperti buku teks, jurnal yang sah atau ujikaji amali. Proses semakan fakta dan pengesahan maklumat ini penting bagi membantu murid mengenal pasti maklumat yang tidak tepat, selain menggalakkan penggunaan AI secara bertanggungjawab serta mengurangkan kebergantungan kepada maklumat yang belum disahkan.
Pendekatan tersebut juga boleh menyokong Pembelajaran Terbeza (Differentiated Learning), khususnya bagi murid yang belajar dengan lebih pantas. Murid yang belajar dengan pantas kerap berasa bosan dengan kadar pengajaran biasa. Guru yang mahir Prompt Engineering dan kaedah pengesahan data boleh menyediakan modul pengayaan (enrichment) yang mencabar secara serta-merta bagi memenuhi keperluan murid fast-learning, manakala guru mempunyai ruang masa untuk membimbing murid yang memerlukan perhatian khusus.
Kemampanan kaedah ini penting agar sistem pendidikan kita tidak melahirkan generasi yang 'kaya maklumat tetapi miskin kefahaman'. AI mungkin mampu memberikan jawapan pada kelajuan cahaya, tetapi hanya guru yang berupaya membimbing murid membina soalan yang betul (prompting) serta menyediakan 'checkpoint pengesahan' agar maklumat tersebut diterjemahkan menjadi ilmu yang sahih, beretika, dan berguna.
Sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi latihan upskilling berterusan amat diperlukan agar guru-guru berkeyakinan merekabentuk aktiviti PdPC yang dinamik ini. Apabila penguasaan Prompt Engineering, checkpoint pengesahan dan metod pengajaran guru kekal mampan, kita bukan sahaja dapat mengimbangi keperluan murid fast-learning, malah berjaya melahirkan modal insan yang berdaya tahan dan berintegriti dalam mendepani masa depan.
Maklumat penulis:
Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia, Ts Dr Raihani Mohamed
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my