Sekolah luar bandar bolot tujuh anugerah dalam FLeP'26 - 'Dahsyat pencapaian SK Jeli 1'

Iklan
Wakil SK Jeli 1 ketika menerima anugerah pada majlis yang berlangsung di Bachok.

Bukti bakat tiada sempadan dan bukan alasan untuk murid membataskan impian

Keterbatasan lokasi dan kedudukan sekolah di luar bandar tidak menghalang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1, Kelantan untuk menyerlah dalam dunia digital apabila membolot tujuh anugerah dalam Festival Filem Kelantan atau Festival Lensa Pendidikan Kelantan (FLeP’26).

Sekolah itu meraih Anugerah Emas kategori Podcast Sekolah Rendah selain tiga Anugerah Khas Podcast Sekolah Rendah menerusi Nur Hannah Insyirah Mohd Aiddy Suffian yang dinobatkan sebagai Host Terbaik; Muhammad Nasrullah Muhammad Syafiq (Pengarah Terbaik) dan Nur Jannatul Arina Ahmad Sufian (Naratif Terbaik).

Iklan
Iklan

SK Jeli 1 turut meraih Anugerah Perak kategori Video TV PSS Sekolah Rendah selain dua Anugerah Khas menerusi Nur Jannatul Arina Ahmad Sufian yang memenangi Sinematografi Terbaik dan Muhammad Nasrullah Muhammad Syafiq (Suntingan Terbaik).

Nur Hannah Insyirah, 12, yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, pencapaian itu membuktikan kedudukan sekolah di Jeli bukan alasan untuk murid membataskan impian sebaliknya teknologi membuka ruang untuk mereka bersaing dengan sekolah di mana-mana sahaja.

Iklan

Menurutnya, keberanian mencuba dan membina keyakinan diri terutama ketika berhadapan kamera menjadi antara perkara penting untuk menguasai bidang kandungan digital.

"Apabila membuat rakaman, perlu bercakap dengan yakin di depan kamera dan tidak mudah gagap.

Iklan

"Walaupun kita belajar di mana-mana, bukanlah penyebab kita tidak mampu mencapai kejayaan seperti ini, yang penting perlu mencuba dan berani," katanya.  

Nur Hannah Insyirah (dua dari kanan) bersama rakan-rakan dan Guru Pembimbing selepas menerima anugerah yang dimenangi.

Nur Hannah turut menekankan kepentingan menjaga adab ketika menggunakan media sosial, termasuk ketika berkomunikasi dan memberikan komen, supaya teknologi digunakan secara bertanggungjawab.

Sementara itu, Guru Pembimbing dan Penyelaras TV PSS SK Jeli 1, Syafiq Zulkiflee berkata, bakat anak muridnya dikesan awal untuk diasah dan berhasil memberikan kemenangan itu.

"Saya sudah tiga tahun mengendalikan TV PSS dan ini kali pertama bawa sekolah menang dalam bidang digital.

"Saya lihat bakat murid saya memang semula jadi kerana dia petah bercakap serta tidak kekok berhadapan khalayak," katanya.

Syafiq berkata, kejayaan berkenaan juga membawa mesej lebih besar bahawa murid dari Jeli tidak ketinggalan berbanding sekolah di bandar malah mampu menghasilkan kandungan digital yang mampu bersaing di peringkat lebih luas.

"Memang matlamat kami adalah untuk menjadi lebih baik, menyerlah dan membuktikan sekolah dari Jeli tidak ketinggalan berbanding sekolah-sekolah di bandar," katanya.

FLeP'26 yang berlangsung dari 15 Mac hingga 20 Ogos itu menjadi platform untuk mengetengahkan kreativiti warga pendidikan khususnya murid dalam bidang perfileman, video kreatif dan podcast, selain memperkukuh literasi media, kemahiran komunikasi dan pemikiran kreatif.

Dalam kategori Podcast Sekolah Rendah, SK Bandar Baharu, Terengganu meraih Perak manakala SK Merbau, Kelantan memperoleh Gangsa.