Berpegang kepada prinsip Turn problems into opportunities, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megat Dewa, Kodiang, Kedah, Cikgu Ainol Anwar Ahmad terus membuktikan bahawa cabaran fizikal dan kesihatan bukan penghalang untuk terus menabur bakti dalam dunia pendidikan.
Pernah kehilangan penglihatan pada mata kanan sejak 2019, pendidik berjiwa kental itu kini berdepan satu lagi ujian apabila perlu menjalani rawatan dialisis.
Namun, keadaan tersebut tidak memadam semangatnya untuk terus memimpin sekolah, malah perjalanan hidupnya menjadi inspirasi kepada guru dan anak didik bahawa setiap kesukaran masih boleh membuka ruang untuk bangkit dan mencipta peluang baharu.
Bagi Cikgu Ainol, masalah tidak semestinya menjadi noktah dalam kehidupan seseorang. Sebaliknya, setiap cabaran perlu diterima dengan fikiran terbuka sebelum dicari jalan untuk mengatasinya.
Prinsip itu dibawanya sepanjang perjalanan sebagai pendidik sejak memulakan tugas di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Jalan Kuantan 2, Kuala Lumpur pada 3 Disember 1990 selepas menamatkan Kursus Perguruan di Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Walaupun berdepan masalah penglihatan, beliau tidak memilih untuk mengalah, sebaliknya terus meningkatkan ilmu dan kemahiran kepimpinan sehingga berjaya menyempurnakan Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) pada 2022.
Usaha itu membuka lembaran baharu dalam kerjayanya apabila diberikan kepercayaan untuk menerajui sekolah sebagai pengetua.
Ketabahan dan sumbangannya dalam bidang pendidikan mendapat pengiktirafan pada peringkat kebangsaan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Berwibawa OKU sempena Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2025 di Kuching, Sarawak pada 16 Mei tahun lalu.
Anugerah berupa wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Pengiktirafan tersebut membawa makna besar buat dirinya kerana membuktikan bahawa keterbatasan fizikal tidak menghalang seseorang daripada melaksanakan tanggungjawab serta menjadi pemimpin pendidikan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Sebelum itu, Cikgu Ainol turut menerima Anugerah Guru OKU Berwibawa pada Majlis Apresiasi Guru Negeri Kedah 2023 ketika bertugas di SMK Permatang Bonglai.
Sumbangannya kepada masyarakat turut mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian pada 2015 dan Bintang Kebaktian Masyarakat pada 2022 oleh Sultan Kedah.
Jalani rawatan dialisis
Di sebalik pelbagai pencapaian itu, Cikgu Ainol tetap melalui kehidupan seperti insan lain yang perlu berhadapan dengan kesakitan, rawatan dan batas kemampuan diri.
Kini, rawatan dialisis menjadi sebahagian daripada rutin kehidupannya, namun keadaan berkenaan tidak menghalang beliau daripada terus menjalankan amanah sebagai peneraju SMK Megat Dewa.
Malah, pengalaman berdepan pelbagai ujian menjadikan beliau lebih memahami pentingnya memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali kemampuan dan bakat masing-masing.
Semangat menjadikan cabaran sebagai peluang turut diterjemahkan menerusi corak kepimpinannya apabila warga sekolah, khususnya pelajar Tingkatan Enam, diberi ruang meneroka bidang baharu di luar pembelajaran dalam bilik darjah.
Antara usaha itu ialah penganjuran Bengkel Kewartawanan Pra Universiti SMK Megat Dewa pada 23 dan 24 Ogos lalu yang melibatkan 50 pelajar serta tujuh guru.
Bengkel berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas penulisan berita, fotografi, teknik temu bual, penggunaan telefon pintar dalam kewartawanan serta penghasilan kandungan media.
Pelajar bina keyakinan
Bagi Cikgu Ainol, sekolah bukan sekadar tempat mengejar keputusan peperiksaan, sebaliknya perlu menjadi ruang untuk pelajar membina keyakinan, mengenali bakat dan memperoleh kemahiran yang boleh digunakan apabila melangkah ke alam pengajian tinggi serta kehidupan sebenar.
Beliau mahu pelajar berani mencuba sesuatu yang baharu dan tidak melihat kegagalan mahupun kekurangan sebagai pengakhiran kepada sesuatu perjalanan.
Pengalaman hidupnya sendiri menjadi contoh bahawa seseorang masih mampu bergerak ke hadapan walaupun berdepan pelbagai kesukaran.
Penganjuran bengkel kewartawanan itu juga diharap dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang berupaya mendokumentasikan aktiviti sekolah, menghasilkan penulisan berkualiti dan mengetengahkan pencapaian warga sekolah kepada masyarakat.
Melalui kemahiran menulis dan fotografi, pelajar turut dilatih melihat sesuatu peristiwa dengan lebih teliti, mendapatkan fakta daripada sumber yang betul serta menyampaikan maklumat secara bertanggungjawab.
Pendekatan itu selari dengan hasrat Cikgu Ainol untuk membentuk warga SMK Megat Dewa yang bukan sahaja memberikan perhatian kepada pencapaian akademik, malah memiliki kemahiran komunikasi, sahsiah dan keyakinan untuk berdepan cabaran dunia sebenar.
Beliau percaya setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri, namun ilmu pengetahuan, keberanian dan kesungguhan mampu membantu seseorang meneruskan perjalanan serta mencapai impian.
Isteri 'tongkat' dan 'sinar cahaya'
Dalam melalui pelbagai cabaran itu, sokongan keluarga menjadi antara sumber kekuatan utamanya, khususnya isteri, Wan Nooraini Megat Hanafi yang pernah disifatkannya sebagai 'tongkat' dan 'sinar cahaya' dalam kehidupannya.
Daripada kehilangan penglihatan sebelah mata, menyempurnakan NPQEL, memimpin sekolah, menerima pengiktirafan pada peringkat negeri dan kebangsaan sehingga kini menjalani rawatan dialisis, perjalanan Cikgu Ainol membawa satu mesej yang cukup jelas.
Cabaran tidak semestinya menamatkan impian.
Sebaliknya, setiap ujian boleh menjadi ruang untuk seseorang mengenali kekuatan diri, memperbaiki kelemahan dan terus melangkah ke hadapan.
Semangat itulah yang mahu diterapkan Cikgu Ainol dalam kalangan warga SMK Megat Dewa agar mereka sentiasa berani mencuba, mencari ilmu dan mencipta peluang walaupun berdepan pelbagai kekangan.
Penulis: Mohd Faris Haikal Sharfey