SK Kedai Buloh 2 perkasa literasi AI dan STEM melalui Teach You AI

Iklan
Antara pengisian utama program ialah aktiviti berkaitan asas kejuruteraan prompt, penggunaan AI secara beretika dan aktiviti robotik, yang memberi peluang kepada murid meneroka teknologi secara lebih dekat, interaktif serta menyeronokkan.

Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Buloh 2, Kota Bharu, Kelantan terus memperkasakan pendidikan digital dalam kalangan murid menerusi penganjuran Program Teach You AI @ SK Kedai Buloh 2, hasil kerjasama bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Program yang berlangsung pada 17 Ogos 2026 itu merupakan inisiatif bagi meningkatkan literasi Kecerdasan Buatan (AI), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya murid Tahap 2.

Iklan
Iklan

Teach You AI dianjurkan bersama oleh Pusat Sumber SK Kedai Buloh 2 dan Institut Kecerdasan Buatan dan Data Raya (AIBIG), UMK dengan penglibatan kira-kira 50 wakil UMK yang hadir bagi berkongsi pengetahuan, kemahiran serta pengalaman berkaitan teknologi AI dan STEM.

Majlis perasmian program disempurnakan Felo Bersekutu, AIBIG, UMK, Ts Dr Siti Salina Saidin sebagai wakil universiti. 

Iklan

Antara pengisian utama program ialah aktiviti berkaitan asas kejuruteraan prompt, penggunaan AI secara beretika dan aktiviti robotik, yang memberi peluang kepada murid meneroka teknologi secara lebih dekat, interaktif serta menyeronokkan.

Iklan

Guru Besar SK Kedai Buloh 2, Othman Hussin berkata, program merupakan satu usaha penting pihak sekolah untuk memastikan murid bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah mampu memahami, meneroka dan menggunakan teknologi AI secara bijak serta bertanggungjawab.

"Perkembangan teknologi AI berlaku dengan begitu pantas. Justeru, murid perlu didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan AI sejak di bangku sekolah lagi agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran pendidikan dan dunia pekerjaan pada masa akan datang.

"Kami amat menghargai kerjasama dan komitmen pihak UMK yang berkongsi kepakaran dengan warga sekolah. Program seperti ini memberi pengalaman pembelajaran yang berbeza kepada murid dan pada masa sama membuka minda mereka terhadap peluang yang ditawarkan oleh bidang AI dan STEM," katanya.

Pengarah Program, Ts Dr Fakhitah Ridzuan pula berkata, Program Teach You AI dirangka bagi memberikan pendedahan awal kepada murid mengenai penggunaan AI secara positif, kreatif dan beretika.

Menurut beliau, pendekatan pembelajaran secara amali dan interaktif dapat membantu murid memahami konsep AI dengan lebih mudah berbanding pembelajaran secara teori semata-mata.

"Kami mahu murid melihat AI bukan sekadar sebagai satu teknologi yang canggih, tetapi sebagai satu alat yang boleh membantu mereka belajar, mencipta dan menyelesaikan masalah dengan lebih kreatif.

"Melalui aktiviti seperti prompt engineering, AI beretika dan robotik, murid diberi peluang untuk mencuba sendiri serta meneroka teknologi dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Inilah pengalaman yang kami harapkan dapat mencetuskan minat mereka untuk terus mendalami bidang STEM dan AI," katanya.

Kerjasama antara universiti dan sekolah 

Sementara itu, Ts Dr Siti Salina berkata, kerjasama antara universiti dan sekolah merupakan platform yang amat baik dalam memperluaskan akses pendidikan berkaitan AI kepada generasi muda.

"UMK amat berbesar hati dapat bersama-sama SK Kedai Buloh 2 dalam memberikan pendedahan berkaitan AI dan teknologi kepada murid sekolah rendah. Pendidikan AI perlu diperkenalkan secara berperingkat dan bersesuaian dengan usia supaya murid dapat memahami manfaat serta tanggungjawab dalam penggunaannya.

"Kami berharap program seperti ini dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak kerjasama antara pihak universiti dan sekolah dalam memperkasa literasi digital serta STEM dalam kalangan generasi muda," katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras Program merangkap Guru Perpustakaan dan Media, SK Kedai Buloh 2, Noor Baiti Zaini Mohamed Zain berkata, penganjuran program tersebut merupakan satu usaha pihak sekolah untuk menjadikan Pusat Sumber Sekolah bukan sahaja sebagai pusat sumber ilmu, malah sebagai platform pembelajaran yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa.

Menurut beliau, kerjasama dengan UMK memberi peluang kepada murid untuk mendapatkan pengalaman pembelajaran secara langsung daripada pakar dan warga universiti dalam bidang AI dan STEM.

"Kami amat teruja dapat merealisasikan program ini bersama pihak UMK. Saya melihat program ini sebagai satu peluang yang sangat bermakna kerana murid dapat belajar tentang AI melalui pengalaman sebenar, bukan sekadar melalui buku teks atau penerangan di dalam kelas.

"Pengisian yang disediakan seperti asas prompt engineering, penggunaan AI secara beretika dan aktiviti robotik amat sesuai dengan murid Tahap 2 kerana ia dapat merangsang kreativiti, rasa ingin tahu serta kemahiran menyelesaikan masalah mereka.

"Kami berharap program ini dapat mencetuskan minat murid untuk terus meneroka dunia AI dan STEM serta menggunakan teknologi secara kreatif, bijak dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah, guru-guru staf serta warga UMK yang memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan program berjalan lancar.

Katanya, kejayaan program tersebut membuktikan bahawa kerjasama strategik antara sekolah dan institusi pengajian tinggi mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada murid, di samping membantu sekolah memperkukuh agenda pendidikan digital.

"Saya percaya usaha seperti ini perlu diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang supaya lebih ramai murid mendapat peluang untuk mengenali AI, STEM dan teknologi terkini dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna," katanya.

Penganjuran Teach You AI @ SK Kedai Buloh 2 diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan generasi murid yang celik teknologi, kreatif, berfikiran kritis serta mampu menggunakan AI secara beretika dan bertanggungjawab selaras dengan aspirasi untuk meneroka keilmuan, membina masa depan dan membentuk generasi yang bersedia menghadapi perkembangan teknologi masa hadapan.