20 guru besar Pasir Puteh belajar jadi pemimpin lebih hebat

Iklan

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh menerusi Sektor Pembangunan Murid terus memberi perhatian terhadap usaha memperkasa kepimpinan sekolah menerusi Program Kem Jati Diri – Membentuk Karamah Insaniah Siri 2/2026.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu menghimpunkan seramai 20 guru besar dari seluruh Pasir Puteh, Kelantan.

Iklan
Iklan

Bukan sekadar kem jati diri, program berkenaan menjadi platform kepada peserta untuk memperluas perspektif mengenai kepimpinan dan pengurusan sekolah yang lebih holistik.

Antara aspek yang diberi penekanan termasuk pengurusan organisasi, kecekapan membuat keputusan, pengurusan sumber, kepimpinan strategik serta pembentukan jati diri berteraskan konsep Karamah Insaniah.

Iklan

Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhd Nasir Hamzah berkata, perkongsian ini mengetengahkan kepentingan mengadaptasi beberapa pendekatan pengurusan sektor korporat dalam pentadbiran sekolah, khususnya dari aspek penetapan sasaran, kecekapan membuat keputusan dan pengurusan masa serta sumber secara optimum.

Mohd Nasir (berdiri) memberikan perkongsian kepada guru besar yang terlibat semasa Kem Jati Diri yang berlangsung.

Iklan

“Pendekatan sedemikian dilihat relevan dalam membantu pentadbir sekolah meningkatkan kecekapan pengurusan organisasi, di samping membina budaya kerja yang lebih proaktif, berfokus dan berorientasikan pencapaian.

“Pendedahan daripada sektor korporat turut memberikan perspektif baharu kepada guru besar mengenai kepentingan perancangan strategik dan keupayaan menyesuaikan gaya kepimpinan dengan perubahan persekitaran pendidikan yang semakin kompleks,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Logistik dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, Profesor Dr Mohd Abdullah Jusoh berkongsi kepakaran dalam bidang pengurusan dan kepimpinan strategik.

Dalam sesi tersebut, Mohd Abdullah memberi penekanan kepada aspek ketahanan jati diri, pengurusan krisis, disiplin pengurusan, kecekapan logistik dan pembentukan sahsiah kepimpinan sebagai elemen penting dalam memperkukuh keupayaan pentadbir sekolah.

“Kepimpinan pendidikan tidak hanya bergantung kepada keupayaan seseorang pentadbir mengurus operasi sekolah. Namun, ia turut menuntut keupayaan membuat keputusan dalam keadaan mencabar, mengurus sumber secara berkesan dan membina pasukan yang mampu bekerja secara bersepadu.

“Konsep Karamah Insaniah yang menjadi antara teras program pula memberi penekanan kepada dimensi kemanusiaan dalam kepimpinan. 

“Kecekapan mengurus perlu diseimbangkan dengan nilai empati, integriti, tanggungjawab, disiplin dan keprihatinan terhadap warga sekolah,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, kolaborasi antara PPD Pasir Puteh, Kumpulan Karangkraf, UPNM memperlihatkan kepentingan jaringan strategik antara sektor awam, korporat dan institusi pengajian tinggi dalam memperkasa modal insan.

Bagi sektor pendidikan, pendekatan tersebut amat penting kerana guru besar kini berhadapan dengan tuntutan kepimpinan yang semakin kompleks. 

Mereka bukan sahaja bertanggungjawab terhadap pengurusan akademik dan kemenjadian murid, tetapi turut perlu mengurus sumber manusia, kewangan, hubungan dengan komuniti serta pelbagai cabaran semasa.