174 pelajar Tingkatan 6 SMK Iskandar Shah mantapkan persediaan kertas Pengajian Am

Iklan

Bukan sekadar hadir ke bengkel, seramai 174 pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah kini mempunyai bekalan lebih yakin untuk mendepani kertas Pengajian Am yang menjadi antara penentu penting kejayaan mereka dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menyedari Pengajian Am merupakan mata pelajaran wajib diambil dan wajib lulus bagi semua calon STPM untuk melayakkan mereka memperoleh sijil penuh STPM, satu Program Teknik Menjawab Pengajian Am dianjurkan bagi membantu pelajar membuat persediaan lebih mantap menghadapi peperiksaan.

Iklan
Iklan

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Pendidikan Masyarakat Parit Perak, Abd Rahim Napiah berkata, usaha itu memberi ruang kepada pelajar khususnya dari kawasan luar bandar untuk mendapatkan bimbingan akademik tanpa terlalu membebankan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa.

Menurutnya, inisiatif berkenaan selari dengan komitmen konsisten yang menjayakan program kecemerlangan akademik di Perak Tengah, terutama dalam membantu anak-anak daripada keluarga B40.

Iklan

“Cara ini juga untuk memberikan peluang pembelajaran dan pendedahan akademik yang lebih baik kepada mereka.

“Maklum balas positif daripada pihak sekolah dan pelajar juga menunjukkan program seumpama ini bukan sahaja memberi ilmu, malah sedikit sebanyak membantu meringankan beban dalam penganjuran bengkel motivasi serta teknik menjawab peperiksaan SPM dan STPM,” katanya kepada Sinar Bestari.

Iklan

Bukan itu sahaja, pihak SMK Iskandar Shah sentiasa memberi kerjasama membuka pintu untuk Pertubuhan Prihatin Pendidikan Masyarakat Parit Perak.

Tambah Abd Rahim, harapan yang disandarkan kepada pelajar ini bukan sekadar memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM 2026, sebaliknya mengimpikan setiap daripadanya melangkah ke dewan peperiksaan dengan yakin.

“Pertubuhan Prihatin Pendidikan Masyarakat Parit Perak turut berharap kejayaan dalam STPM nanti menjadi tiket kepada pelajar untuk merealisasikan impian melanjutkan pengajian ke universiti pilihan masing-masing.

“Semoga segala ilmu dan persediaan yang diperoleh menjadi bekalan untuk mereka mencapai keputusan yang membanggakan serta melangkah lebih jauh dalam pendidikan dan kehidupan,” ujarnya.