Jarak bukan penghalang dua sepupu buru asrama penuh

Iklan
Sebahagian pelajar yang menyertai Bengkel Persediaan PKSK sebagai langkah memperkukuh persediaan dan meningkatkan keyakinan sebelum menghadapi PKSK. Gambar kecil: Muhammad Rifqi (atas) dan Muhammad Al Fatih (bawah)

Impian melangkah ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) menyatukan dua sepupu dari negeri berbeza yang sanggup menempuh perjalanan ratusan kilometer untuk menyertai Bengkel Persediaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) di Universiti Malaya (UM).

Muhammad Rifqi Sufi Rashid, 12, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang, bersama keluarganya terlebih dahulu singgah di Bachok, Kelantan untuk mengambil sepupunya, Muhammad Al Fatih Mohamed Rosli, 12, sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Muhammad Rifqi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai, Simpang Ampat, Pulau Pinang, berkata, meskipun penat menempuh perjalanan jauh, keadaan itu tidak melunturkan semangatnya untuk merealisasikan impian melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu di SBP.

"Apabila sampai di sini, saya rasa lebih yakin untuk menjawab soalan PKSK," katanya.

Iklan

PKSK merupakan pentaksiran bagi proses kemasukan ke sekolah khusus selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan pada 2020.

Muhammad Rifqi berkata, dia turut menyimpan hasrat untuk mengikuti aliran agama sama seperti abangnya yang kini menuntut di Tahfiz Sains Bachok, Kelantan.

Iklan

Menurutnya, pengalaman abangnya yang belajar jauh dari keluarga turut menjadi pembakar semangat untuknya berani keluar daripada zon selesa dan mengejar peluang pendidikan lebih baik.

"Abang saya pun belajar di Kelantan. Saya pun mahu cuba pengalaman yang sama, dapat ilmu dan belajar berdikari.

"Kalau mahu berjaya, kita kena berusaha. Perjalanan jauh ini pun saya anggap sebagai satu pengorbanan untuk masa depan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Al Fatih berkata, dia sudah membuat persediaan menghadapi PKSK sejak April lalu dengan mengikuti kelas tuisyen di rumah selain pembelajaran secara dalam talian.

Katanya, perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur bersama sepupu membuatkan dia lebih bersemangat kerana mereka mempunyai impian sama untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama.

Muhammad Al Fatih bercita-cita menjadi pegawai bomba berkata, dia tidak mahu mensia-siakan pengorbanan keluarga yang sanggup membawa mereka menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk mendapatkan peluang pendidikan.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta, Nur Fatnin Maisarah Mohd Helmey, 12, berkata, dia menyertai bengkel itu kerana mahu menambah ilmu dan mencari lebih ramai rakan.

"Saya mahu belajar dan dapat ramai kenalan dan berusaha mendapatkan tempat di sekolah berasrama penuh di Johor,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Fly High Education Centre, Wan Rafidah Wan Ali berharap semua peserta yang mengikuti bengkel PKSK dapat merealisasikan impian untuk melanjutkan pelajaran ke SBP. 

Wan Rafidah

"Berdasarkan program yang kami anjurkan, kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar mengikuti kelas secara konsisten berjaya mencapai sasaran mereka ke asrama," katanya.

Menurutnya, bengkel itu merupakan siri keenam yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan setiap tahun dengan penyertaan pelajar dari Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perak dan Johor.

Katanya, selain sesi pembelajaran bersama tenaga pengajar Fly High, program turut disusuli pengisian motivasi bagi meningkatkan keyakinan dan kesediaan peserta menghadapi PKSK.

"Bengkel seterusnya dijadualkan pada 19 dan 20 September, diikuti sesi persediaan akhir pada 3 dan 4 Oktober sebelum PKSK bermula pada 7 Oktober," tambah beliau.