Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, memuji Taanusiya Chetty yang merangkul tempat ketiga dalam pertandingan Miss World 2026 kerana menjadikan pendidikan dan kerja advokasi sebagai sebahagian daripada perjuangannya.
Fadhlina menyifatkan pencapaian wakil Malaysia itu di pentas dunia sebagai membanggakan negara, selain kagum dengan prinsip Taanusiya mengutamakan ilmu pengetahuan.
"Saya tertarik bukan sahaja dengan pencapaiannya di pentas dunia malah juga dengan sisi Taanusiya yang meletakkan pendidikan dan kerja advokasi sebagai sebahagian daripada perjuangannya.
"Kecantikan mungkin membuka pentas, tetapi ilmu dan pemikiran menentukan apa yang kita lakukan apabila berada di atasnya," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menggalakkan Taanusiya terus menggunakan pentas dan suara dimilikinya untuk membawa perkara bermakna.
Taanusiya, 26, meraih tempat ketiga pada pertandingan akhir Miss World 2026 di Nha Trang, Vietnam manakala Joheirry Mola Dominguez dari Republik Dominika dinobatkan sebagai juara dan Elisabeth Reynes Alabern dari Sepanyol di tempat kedua.
Kejayaan itu menyamai pencapaian terbaik Malaysia dilakar Lina Teoh pada 1998, sekali gus mengembalikan negara ke kelompok tiga terbaik selepas 28 tahun.
Taanusiya mara ke kelompak enam terbaik selepas memenangi segmen Beauty With A Purpose yang menjadi antara komponen penting dalam pertandingan Miss World.
Taanusiya turut mencuri perhatian apabila berucap dalam empat bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil pada sesi Head-to-Head Challenge, di samping mengetengahkan kerja kemasyarakatan menerusi Be The Change Malaysia. - Bernama