Apakah maksud sebenar 'demokrasi' kepada seorang remaja berusia 17 tahun? Soalan ini terlintas di fikiran saya apabila mengikuti perkembangan Pilihan Raya Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan Enam (JPTE) Sesi 2026/2027 di Prauniversiti Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Zulkifli Muhammad (SMKDZM), Slim River, Perak yang berlangsung pada 18 Ogos lalu dengan peratusan keluar mengundi membanggakan iaitu 95.18 peratus, melibatkan 64 pelajar dan 19 guru akademik Tingkatan Enam.
Angka ini bukan sekadar statistik. Ia cerminan kepada satu proses pendidikan yang jarang mendapat sorotan sewajarnya, pembelajaran demokrasi melalui pengalaman sebenar, bukan teori semata. Tahun ini, lima calon bertanding merebut jawatan Pengerusi JPTE, dengan keseluruhan proses pengundian dijalankan seperti Pilihan Raya Umum sebenar, lengkap dengan sokongan Akademi Suruhanjaya Pilihan Raya daripada pendaftaran pengundi hinggalah ke peti undi.
Pengalaman sebenar, pembelajaran sebenar
Prinsip asas dalam bidang pendidikan menegaskan bahawa pembelajaran paling berkesan bukan datang daripada teori semata-mata, tetapi daripada pengalaman yang dilalui sendiri oleh pelajar.
Aktiviti seperti pilihan raya sekolah ini adalah contoh terbaik apa yang saya gelar sebagai 'kurikulum tersembunyi' bermaksud pembelajaran yang berlaku secara tidak formal, namun kesannya jauh lebih mendalam berbanding pengajaran teori di dalam kelas.
Melalui proses mendaftar sebagai pengundi, berkempen, mengundi, sehinggalah menerima keputusan, pelajar belajar sesuatu yang lebih besar daripada sekadar memilih pemimpin.
Mereka belajar bahawa kuasa yang diberikan oleh pengundi bukanlah hak mutlak, sebaliknya satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, prinsip asas yang turut menjadi tunjang kepada sistem demokrasi negara.
Apabila nilai ini disemai sejak di bangku sekolah, generasi pengundi yang lebih matang dan bertanggungjawab akan terbentuk apabila mereka layak mengundi kelak dalam pilihan raya sebenar.
Inisiatif seperti ini turut selari dengan hasrat sistem pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga seimbang dari segi sahsiah dan kepimpinan selaras dengan aspirasi kurikulum kebangsaan yang menekankan pembentukan warganegara yang berpengetahuan, berkemahiran, dan berakhlak mulia.
Suara dari sekolah
Kejayaan penganjuran ini turut disumbangkan oleh komitmen menyeluruh warga SMKDZM daripada Pegawai Pengurus, Puan Haslida Yeop, Cikgu Fhazrul Zainor dan barisan guru urus setia, sehinggalah sokongan padu pentadbir sekolah.
Pengetua SMKDZM, Sharizan Shafie berkata, pihaknya mahu pelajar bukan sekadar memahami demokrasi secara teori tetapi benar-benar merasainya.
"Pengalaman seperti ini penting untuk membentuk mereka menjadi individu yang bertanggungjawab dan berintegriti apabila mereka mengundi buat kali pertama kelak," katanya.
Hasil pemilihan menyaksikan Iqbal Izzat Mohammad Anuar dari kelas Ibnu Khaldun dipilih sebagai Pengerusi JPTE, manakala Qaseh Nur Qaisara Amrul Khairizal sebagai Naib Pengerusi bagi Sesi 2026/2027, mewakili suara rakan-rakan mereka sepanjang sesi persekolahan akan datang.
Jawapan kepada soalan saya di awal tadi, saya percaya, ada di sini: demokrasi bagi remaja 17 tahun bukan lagi konsep abstrak dalam buku teks, tetapi pengalaman nyata yang mereka lalui sendiri dan itulah pelaburan pendidikan paling bernilai yang boleh kita berikan kepada generasi akan datang.
Maklumat penulis:
Pensyarah Kanan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Muhammad Afif Mohd Aris dengan kerjasama SMKDZM
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my