Pencapaian luar biasa dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 membawa 27 pelajar terbaik melangkah ke fasa baharu pendidikan apabila bakal meneruskan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di 18 universiti awam (UA).
Kejayaan mereka itu turut mendapat pengiktirafan menerusi tajaan yuran pengajian daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), sekali gus membuka ruang untuk anak muda ini mengejar cita-cita di menara ilmu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tajaan itu merupakan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang pelajar dalam STPM 2025, selain menyokong potensi mereka untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing.
"Kita mahu memastikan setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang, diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada Pelajar Cemerlang STPM 2025 di KPT.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah; Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Profesor Dr Md Amin Md Taff dan Ketua Eksekutif MPM, Badrul Hisham Abdullah.
Menurut Zambry, tajaan diberikan meliputi pelbagai bidang pengajian termasuk bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan dan pendidikan yang penting dalam memenuhi keperluan pembangunan bakat negara.
Beliau turut mengingatkan penerima supaya memanfaatkan kehidupan di universiti untuk membina ilmu, kemahiran, kepimpinan dan pengalaman, selain menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan nilai kemanusiaan, integriti serta tanggungjawab kepada masyarakat.
"Gunakan peluang yang saudara dan saudari terima hari ini untuk mengubah masa depan dan apabila berjaya kelak, bukalah pula jalan untuk orang lain," jelasnya.
Untuk rekod, Universiti Malaya (UM) menaja enam pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) empat pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing dua pelajar manakala 14 UA lain masing-masing menaja seorang pelajar.