Kecemerlangan akademik pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Bentara Luar, Batu Pahat, Johor, Farraziela Muhd Rashid, membuktikan latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencipta kejayaan dalam pendidikan.
Farraziela dinobatkan sebagai pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 selepas memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, sekali gus membuka laluan untuknya melangkah ke peringkat pengajian tinggi.
Pencapaian tersebut lebih bermakna buat anak kepada seorang bapa yang bekerja sebagai tukang urut apabila beliau turut menerima tajaan yuran pengajian ijazah sarjana muda daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Tajaan berkenaan memberi peluang kepada Farraziela meneruskan pengajian tanpa perlu memikirkan kos yuran pengajian, selain membolehkannya memberi tumpuan kepada bidang yang diminatinya.
Difahamkan, Farraziela bakal menyambung pengajian di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian.
Beliau menerima tajaan berjumlah RM4,600 meliputi yuran pengajian di UTHM dalam Majlis Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada Pelajar Cemerlang STPM 2025 yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di KPT.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq dalam kenyataan media berkata, kejayaan Farraziela membuktikan kecemerlangan akademik mampu membuka ruang dan peluang pendidikan yang lebih luas kepada generasi muda.
"Kami amat berbangga menerima Farraziela sebagai sebahagian daripada keluarga UTHM.
"Pencapaian PNGK 4.00 yang diraihnya bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, malah menjadi bukti bahawa kesungguhan dan disiplin mampu membawa seseorang melangkah lebih jauh dalam pendidikan.
"Kami berharap peluang ini dimanfaatkan sebaiknya untuk membina kompetensi dalam bidang teknologi maklumat seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.