Tiga guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Puncak Alam, Selangor mencipta kejayaan membanggakan apabila inovasi e-IHAB berjaya meraih Pingat Emas, Johan Kategori Pengurusan serta Anugerah Penulisan Laporan Terbaik dalam Pertandingan Kajian Tindakan dan Inovasi Pendidikan (KTINO) JAIS 2026 Peringkat Daerah Kuala Selangor baru-baru ini.
Inovasi tersebut dibangunkan oleh Nur Syaida Syafiah Baharudin, Nurul Izzah Mhd Shuib dan Muhammad Alias Omar melalui kajian bertajuk e-IHAB: Meningkatkan Kemahiran Merekod Amalan Murid (IHAB) bagi 3 Orang Guru Tahun 6 di SRA Puncak Alam.
Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, e-IHAB merupakan inovasi pengurusan berasaskan digital yang dibangunkan bagi membantu guru merekod, mengurus dan memantau amalan harian serta perkembangan sahsiah murid dengan lebih mudah, cepat, sistematik dan berkesan.
Idea pembangunan inovasi berkenaan tercetus daripada keperluan untuk menambah baik kaedah pengurusan rekod amalan murid yang sebelum ini banyak bergantung kepada dokumentasi secara manual.
Melalui e-IHAB, maklumat berkaitan amalan murid dapat direkod dan disimpan dengan lebih tersusun, sekali gus membantu mengurangkan risiko dokumen hilang, tercicir atau sukar dikesan semula.
Sistem itu juga memudahkan guru membuat semakan terhadap perkembangan amalan dan sahsiah murid dari semasa ke semasa.
Maklumat yang direkodkan secara digital membolehkan guru mengenal pasti perkembangan murid dengan lebih teratur serta merancang tindakan susulan yang bersesuaian.
Antara kekuatan utama e-IHAB ialah cirinya yang mesra pengguna, mudah dicapai dan sistematik, sekali gus membantu mempercepat proses merekod, menyemak dan menyediakan maklumat berkaitan murid.
Pendekatan digital tersebut turut mengurangkan kebergantungan kepada dokumentasi bercetak serta menyokong pengurusan data yang lebih cekap selaras dengan perkembangan teknologi dalam bidang pendidikan.
Selain meningkatkan kecekapan pengurusan, penggunaan e-IHAB berpotensi membantu guru menjimatkan masa dalam melaksanakan tugas dokumentasi.
Masa yang dapat dijimatkan itu membolehkan guru memberikan perhatian lebih besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta pembentukan sahsiah murid.
Satu pencapaian membanggakan
Guru Besar SRA Puncak Alam, Ustazah Sharila Mohamed Sayuti menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan buat sekolah serta mencerminkan komitmen guru dalam membudayakan inovasi dalam pengurusan pendidikan.
"Kejayaan ini membuktikan bahawa guru SRA Puncak Alam mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti isu sebenar dalam pengurusan sekolah dan seterusnya menghasilkan penyelesaian yang kreatif serta praktikal.
"Inovasi e-IHAB bukan sahaja memudahkan tugas guru, malah menyokong usaha sekolah dalam membentuk sahsiah murid secara lebih sistematik. Saya berharap budaya kajian tindakan dan inovasi ini akan terus berkembang dalam kalangan warga sekolah," katanya.
Wakil Unit Pengurusan Pendidikan Islam Daerah Kuala Selangor, Ustaz Rosidi Hussin berpandangan bahawa kejayaan tersebut memperlihatkan potensi besar guru-guru sekolah agama dalam menghasilkan inovasi yang mampu memberi impak kepada pengurusan sekolah.
"Inovasi yang baik bermula daripada masalah sebenar yang dihadapi oleh guru. e-IHAB menunjukkan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk menambah baik proses pengurusan, khususnya dalam aspek perekodan dan pemantauan murid.
"Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada sekolah-sekolah lain di Daerah Kuala Selangor untuk terus membudayakan kajian tindakan dan inovasi pendidikan," katanya.
Pembimbing utama kumpulan tersebut, Ustazah Munera Hashim berkata, pembangunan e-IHAB melalui proses bimbingan yang menekankan hubungan antara permasalahan sebenar, intervensi yang dibangunkan, kebolehgunaan produk serta impaknya terhadap amalan pengurusan guru.
"Sepanjang proses bimbingan, kumpulan ini menunjukkan komitmen yang sangat baik dalam menambah baik inovasi berdasarkan permasalahan sebenar yang dihadapi oleh guru.
"Mereka bukan sekadar menghasilkan produk digital, tetapi melaksanakan kajian tindakan bagi memastikan e-IHAB benar-benar membantu meningkatkan kemahiran merekod amalan murid.
"Kekuatan utama inovasi ini ialah ia praktikal, mudah digunakan dan mempunyai potensi untuk dikembangkan penggunaannya," katanya.
Menurut beliau, proses menghasilkan inovasi yang berkualiti tidak hanya tertumpu kepada kecanggihan sesuatu produk, sebaliknya perlu berasaskan masalah yang jelas, objektif yang tepat, intervensi yang relevan serta bukti perubahan selepas inovasi dilaksanakan.
"Dalam inovasi pendidikan, produk hanyalah satu medium. Perkara yang lebih penting ialah sejauh mana inovasi tersebut mampu menyelesaikan masalah sebenar dan membawa perubahan kepada amalan guru.
"Kejayaan e-IHAB menunjukkan bahawa apabila kajian tindakan digabungkan dengan inovasi yang berfokus, penyelesaian yang dihasilkan boleh memberi manfaat secara langsung kepada pengurusan sekolah dan perkembangan murid," ujar beliau.
Jaringan kerjasama
Sementara itu, e-IHAB turut membuka ruang kepada pembentukan jaringan kerjasama yang lebih baik antara guru, murid dan ibu bapa, khususnya dalam memastikan pemantauan amalan dan pembentukan akhlak murid dapat diteruskan secara konsisten antara sekolah dengan rumah.
Malah, kejayaan e-IHAB meraih Johan Kategori Pengurusan membuktikan keupayaan guru sekolah agama menghasilkan inovasi yang bukan sahaja kreatif, bahkan bersifat praktikal serta mampu menyelesaikan permasalahan sebenar dalam pengurusan pendidikan.
Pencapaian tiga guru SRA Puncak Alam itu turut memperlihatkan bahawa budaya kajian tindakan dan inovasi boleh menjadi medium penting dalam usaha meningkatkan profesionalisme guru dan kualiti pengurusan sekolah.
Kejayaan tersebut diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih ramai warga pendidik untuk terus meneroka penggunaan teknologi, melaksanakan kajian tindakan serta menghasilkan inovasi yang memberi manfaat secara langsung kepada sekolah, guru dan murid.
Usaha sedemikian amat signifikan dalam mendepani tuntutan pendidikan masa kini yang bukan sahaja memberikan penekanan terhadap kecemerlangan akademik, malah turut memberi perhatian kepada pembangunan sahsiah, disiplin, akhlak dan amalan harian murid.
e-IHAB yang dibangunkan bukan sekadar sistem merekod, tetapi satu usaha mendigitalisasikan pengurusan sahsiah murid ke arah membentuk generasi yang lebih berdisiplin, istiqamah dalam amalan dan berakhlak mulia.