Buku bukan sekadar himpunan kata, sebaliknya jendela yang membuka dunia ilmu, imaginasi dan pemikiran.
Menerusi Pertandingan Pembaca Bestari sempena Anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan (ATNK) 2026, murid sekolah rendah dan menengah diberi ruang menyerlahkan keupayaan membaca, memahami serta menyampaikan ilmu dengan yakin dalam bahasa Inggeris.
Lebih daripada menguji kelancaran berbahasa, pertandingan itu mengetengahkan kepentingan pembacaan berkualiti, penghayatan nilai dan kemahiran komunikasi.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Convent 1 Bukit Nanas, Vakshara V Kumaran, 12, berkata, buku yang baik bukan hanya menghiburkan, malah mampu membuka minda, membentuk pemikiran dan meninggalkan nilai dalam diri pembaca.
“Pertandingan ini menjadi ruang membuktikan bahawa pembacaan berkualiti melibatkan keupayaan memahami kandungan, menghayati mesej dan berkongsi ilmu dengan yakin.
“Pemilihan bahan bacaan juga perlu diberi perhatian termasuk kandungan berkualiti, penggunaan bahasa yang baik, idea menarik dan nilai pengajaran,” katanya kepada Sinar Bestari.
Anugerah Tokoh Nilam Kebangsaan 2026 yang diadakan di Hotel Geno, Subang Jaya dari 16 hingga 21 Ogos lalu, menghimpunkan murid dan guru seluruh negara dalam sebuah pentas pengiktirafan budaya membaca serta kecemerlangan literasi.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi menguji keupayaan peserta, termasuk Pertandingan Pengkarya Muda, Pertandingan Bicara Buku, Pertandingan Video TV PSS dan Pertandingan Pembaca Bestari.
Selain menyerlahkan bakat murid dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, program itu memberi peluang kepada peserta bertukar pengalaman, membina keyakinan diri serta memperluas jaringan persahabatan bersama rakan pembaca dari seluruh Malaysia.
Penguasaan bahasa Inggeris dalam pertandingan tersebut tidak terhenti pada kebolehan bertutur atau memahami teks.
Sebaliknya, ia membuka peluang kepada murid untuk meneroka karya pelbagai latar, memperluas kosa kata dan membina keyakinan menyampaikan pandangan dalam bahasa antarabangsa.
Vakshara berkata, bahasa Melayu kekal sebagai asas penting dalam pembentukan identiti, pemikiran dan interaksi.
“Keupayaan menguasai bahasa Inggeris sambil menghargai bahasa kebangsaan mencerminkan pendidikan yang meraikan kepelbagaian ilmu tanpa melupakan akar budaya.
“Bagi pencinta buku seperti saya, membaca bukan aktiviti bermusim. Ia perjalanan yang menyeronokkan, memperkenalkan dunia pengembaraan, misteri dan watak yang mengajar tentang keberanian, persahabatan serta pilihan dalam kehidupan,” katanya lagi.
Penghargaan pada guru
Kejayaan melangkah ke peringkat kebangsaan menjadi detik yang cukup bermakna buat Vakshara yang berasa gembira, bersyukur dan bangga kerana berpeluang membawa nama sekolah ke pentas lebih besar.
“Saya sangat berterima kasih kepada guru saya, Eswary Jayapalan yang banyak membimbing, melatih dan memberi semangat kepada saya. Tidak lupa juga kepada ibu bapa yang sentiasa menyokong dan memberi dorongan.
“Bagi saya, peluang ini sangat bermakna kerana saya dapat mencabar diri, menimba pengalaman baharu dan bertemu dengan pembaca hebat dari seluruh Malaysia.
“Saya belajar bahawa membaca bukan sekadar memahami buku, tetapi membina keyakinan untuk berkongsi ilmu dan menyampaikan idea dalam bahasa Inggeris dengan baik,” kongsinya.
Keyakinan berkomunikasi
Bagi guru pembimbing, Eswary Jayapalan, 42, penguasaan kedua-dua bahasa itu bukanlah sesuatu yang perlu dipisahkan, sebaliknya boleh diperkasa secara seiring menerusi pendedahan dan amalan yang konsisten.
“Kedua-duanya mempunyai peranan tersendiri dalam pendidikan dan kehidupan seharian. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan manakala bahasa Inggeris menjadi medium penting dalam komunikasi dan penerokaan ilmu,” katanya yang juga Ketua Panitia Bahasa Inggeris SK Convent 1 Bukit Nanas.
Jelas beliau, budaya membaca dalam bahasa Inggeris membuka peluang untuk mereka meneroka ilmu dan perspektif baharu.
Malah, murid dapat mempelajari perkataan baharu dan memahami cara penggunaannya dalam ayat.
“Pendedahan ini membantu mereka bercakap, berkongsi pandangan dan menyampaikan idea dengan lebih yakin. Saya melihat sendiri perubahan positif dalam diri murid. Bukan sahaja menunjukkan peningkatan dalam penguasaan bahasa Inggeris, tetapi turut berani tampil dan berkomunikasi dalam pelbagai situasi,” katanya.