PIBG SK Muadzam Jaya terus melangkah, bina jaringan demi warga sekolah

Iklan
Kerjasama sebegini diharapkan dapat terus diperluas supaya kehadiran PIBG benar-benar dirasai sebagai rakan strategik sekolah dalam membina persekitaran pendidikan yang kondusif, progresif dan memberi manfaat kepada seluruh warga sekolah.

Kewujudan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bukan sekadar pelengkap kepada sistem persekolahan, sebaliknya menjadi antara penggerak penting dalam mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih dinamik.

Dalam dunia pendidikan yang sentiasa berkembang, kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti amat diperlukan bagi memastikan pelbagai usaha yang dirancang dapat memberi manfaat kepada murid.

Iklan
Iklan

Atas kesedaran itu, PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Muadzam Jaya, Pahang mengambil pendekatan lebih terbuka dengan meneroka pelbagai peluang kerjasama bersama pihak luar demi memperkaya pengalaman pembelajaran warga sekolah.

Naib Yang Dipertua PIBG SK Muadzam Jaya, Zainordin Zinon Abidin berkata, pihaknya sentiasa mencari ruang untuk memastikan peranan PIBG dapat memberikan nilai tambah kepada sekolah dan murid.

Iklan

"Kami sentiasa mengintai ruang dan mencari peluang untuk bergerak seiring dengan pihak sekolah. PIBG perlu sentiasa bahu-membahu dengan pihak sekolah dalam membina watak sekolah yang lebih dinamik," katanya.

Menurut beliau, antara usaha terbaharu ialah jalinan perkongsian ilmu antara PIBG dan Jabatan Perdagangan Politeknik Muadzam Shah (PMS), yang dilihat mampu membuka ruang baharu kepada warga sekolah untuk memperoleh ilmu serta pengalaman daripada institusi pendidikan tinggi.

Iklan

Jalinan berkenaan turut mendapat sokongan Ketua Jabatan Perdagangan PMS, Hanizah Farhani Jaafar yang hadir dalam program tersebut sebagai tanda komitmen terhadap usaha memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan.

Hanizah berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menggerakkan sebarang bentuk aktiviti yang mampu memberikan manfaat kepada warga sekolah.

"Ini juga sebenarnya memberikan ruang dan peluang kepada kami untuk mencurah ilmu dan kemahiran untuk dikongsi bersama warga sekolah," ujarnya.

Bagi Guru Besar SK Muadzam Jaya, Haslizan Hassan pula, kerjasama antara sekolah, PIBG dan Jabatan Perdagangan PMS membuka peluang baharu untuk pihaknya mempelbagaikan aktiviti yang dapat memberi pengalaman berbeza kepada warga sekolah.

"Kami sememangnya mengetahui bahawa pihak PMS mempunyai aset ilmu yang boleh memberikan manfaat kepada warga sekolah.

"Justeru, jalinan kerjasama seperti ini memberikan satu peluang yang baik untuk kami memperkaya aktiviti di sekolah," katanya.

Lebih menarik, kerjasama tersebut tidak terhenti pada sesi perkongsian ilmu semata-mata apabila satu program sukaneka turut diadakan bersempena Majlis Menandatangani Jalinan Kerjasama Strategik berkenaan.

Aktiviti itu dikendalikan sendiri oleh pelajar Jabatan Perdagangan PMS, sekali gus memberi peluang kepada mereka berinteraksi secara langsung dengan warga sekolah dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan.