Penganjuran kejohanan bola sepak bawah 12 tahun dalam kalangan sekolah Tamil di Perak menjadi 'tapak awal' melahirkan pemain pelapis dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.
Presiden Persatuan Bola Sepak India Perak, Datuk Amaluddin Mohd Ismail berkata, pembangunan bakat perlu dimulakan seawal usia bagi memastikan kesinambungan pemain berkualiti untuk mewakili negeri dan negara.
Menurutnya, pemain berusia antara 9 hingga 12 tahun perlu diberi pendedahan awal menerusi pertandingan kompetitif bagi mencungkil potensi sebenar mereka.
"Kita laksanakan kejohanan ini sejak 2023 lagi khusus untuk sekolah Tamil. Kita nak cungkil bakat muda supaya mereka boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
"Sebagai rakyat Perak, kita cuba bantu setakat yang mampu. Kalau ada sokongan dan peruntukan mencukupi, lebih banyak program boleh dilaksanakan," katanya.
Sabtu lalu, sebanyak 12 pasukan dari lapan sekolah, mengambil bahagian dalam Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun SJKT Kinta Utara Piala Ahli Parlimen Tambun anjuran Persatuan Kebajikan Sehati Warga Perak di Padang Ipoh.
Pasukan terdiri daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Chettiars; SJKT Kampung Simee; SJKT Perak Sangeeth Sabah; SJKT Desa Pinji; SJKT Ladang Chemor; SJKT Menglembu; SJKT St Philomena Convent dan SJKT Tanjung Rambutan.
SJKT Chettiars A muncul johan kategori Lelaki manakala SJKT Menglembu meraih kejuaraan kategori Perempuan.
Mengulas lanjut, Amaluddin berkata, kejohanan tersebut menjadi medan pemilihan pemain terbaik untuk diserap ke dalam pasukan negeri bagi menyertai pertandingan lebih kompetitif.
Katanya, pemain yang diketengahkan berpotensi mewakili Perak dalam tempoh beberapa tahun akan datang, termasuk di peringkat bawah 16 dan bawah 18 tahun.
"Daripada sini kita boleh pilih pemain terbaik dan bentuk pasukan untuk dihantar bertanding di peringkat lebih tinggi.
"Ramai pemain sebelum ini bermula di sekolah Tamil, kemudian mewakili Perak antaranya K Nanthakumar yang kini telah menjadi jurulatih," katanya.