39 pelajar Tingkatan Satu belajar tapis maklumat, elak terpedaya berita palsu

Iklan
Pelajar berbincang dan melengkapkan aktiviti modul di salah satu daripada lima stesen pembelajaran yang memberi tumpuan kepada komunikasi, kepimpinan dan literasi digital.

Seramai 39 pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang, Selangor berpeluang mendalami kemahiran komunikasi, kepimpinan dan literasi digital menerusi program interaktif yang membantu mereka menghadapi cabaran dunia digital masa kini.

Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, program The Architect of Influence: Communication and Leadership 5.0 itu dianjurkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), di bawah Projek Sekolah Angkat MADANI 2026 baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Menerusi program berkenaan, pelajar mengikuti modul Learning to Lead in the Digital World yang dibangunkan khas oleh pasukan FKPM UiTM untuk membina keyakinan diri, kemahiran memimpin serta keupayaan menilai maklumat secara kritis.

"Modul tersebut dilaksanakan menerusi lima stesen pembelajaran interaktif yang memberi tumpuan kepada komunikasi dengan yakin, kepimpinan kendiri, pengenalan diri, penggunaan media sosial secara bijak serta penilaian maklumat dan kandungan kecerdasan buatan (AI)," katanya.

Iklan

Kongsi kenyataan itu lagi, pendekatan tersebut turut mendedahkan pelajar kepada cara mengenal pasti berita palsu, tajuk umpan klik dan kandungan yang dijana AI, selain menggalakkan mereka menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

Malah, pelajar juga diberi pendedahan tentang kepentingan menjaga privasi, memahami risiko jejak digital serta berkongsi maklumat peribadi secara bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial. 

Iklan

Sementara itu, seramai 10 pensyarah FKPM daripada pelbagai bidang kepakaran terlibat dalam pembangunan dan pelaksanaan modul berkenaan.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri FKPM UiTM, Profesor Madya Dr Tengku Elena Tengku Mahamad berkata, program bertujuan membawa ilmu dan kepakaran universiti kepada komuniti menerusi pendekatan yang sesuai serta boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, pelajar Tingkatan Satu merupakan kumpulan yang sesuai untuk diberikan pendedahan awal kerana mereka sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah menengah, membina keyakinan dan semakin terdedah kepada dunia digital.

"Matlamat kami adalah untuk memberi pendedahan dan membina kesedaran dari awal. Kita mahu mereka mempunyai asas untuk berkomunikasi dengan baik, mengenali diri, memimpin dan membuat pilihan dengan lebih bertanggungjawab, termasuk apabila berhadapan dengan media sosial, AI dan pelbagai maklumat dalam talian," katanya.

Guru kelas Tingkatan Satu, Cikgu Anizam Kandis turut menyambut baik pelaksanaan program itu kerana memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman dan pengetahuan baharu di luar pembelajaran biasa di sekolah.

Beliau berkata, pelajar menunjukkan keterujaan sepanjang mengikuti aktiviti yang disediakan.

Terdahulu, projek Sekolah Angkat MADANI di SMK Sijangkang Jaya dibiayai oleh Kementerian Kewangan Malaysia melalui Bahagian Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), UiTM, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pemindahan ilmu dan kepakaran universiti kepada komuniti.