Bukan sekadar mengenali dunia kewartawanan, Bengkel Kewartawanan Digital TV PSS ini menjadi platform untuk melahirkan murid yang kreatif, berkeyakinan dan beretika dalam menghasilkan kandungan digital.
Menerusi bengkel itu, Pengetua Akademi Pendidikan Sinar Bestari, Meen Tahrin berkata, peserta didedahkan dengan asas kewartawanan digital, termasuk teknik mencari maklumat, menghasilkan video berkualiti serta penggunaan studio.
Menurutnya, antara pengisian utama ialah slot Etika Kewartawanan dan Penggunaan Studio yang memberi peluang kepada murid mempelajari teori serta merasai sendiri pengalaman praktikal menghasilkan kandungan TV PSS.
“Dalam masa sama, mereka diingatkan supaya sentiasa mengutamakan etika kewartawanan, khususnya menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi sesuatu berita.
“Amalan membaca juga perlu dipupuk bagi memastikan mereka lebih peka terhadap isu semasa dan perkembangan di sekeliling,” katanya.
Menariknya, tambah Meen, bengkel ini bukan hanya tertumpu kepada kemahiran mengendalikan kamera atau studio, sebaliknya membantu murid mengenal pasti potensi diri, meningkatkan keyakinan dan mengasah kemahiran komunikasi.
“Murid-murid ini juga berpeluang membina kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam pembelajaran dan kehidupan seharian,” ujarnya
Sehubungan itu, Sinar Bestari mengalu-alukan penyertaan lebih banyak sekolah dalam program TV PSS bagi membuka peluang kepada generasi muda meneroka dunia media dan kewartawanan digital.