Bersih itu hebat, murid berbakat

Iklan

Latihan Industri TV PSS Sinar Bestari, KDEBWM cungkil kreativiti murid hasilkan video kesedaran kebersihan dan kelestarian alam sekitar

Amalan menjaga kebersihan bukan sekadar memastikan persekitaran kelihatan kemas, sebaliknya menjadi budaya sejak di bangku sekolah.

Menyedari kepentingan itu, KDEB Waste Management (KDEBWM) memberikan pendedahan dan kesedaran berkaitan kebersihan serta amalan kitar semula kepada hampir 80 murid Latihan Industri TV PSS Sinar Bestari x KDEBWM baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat KDEB Waste, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, memasuki tahun ketiga penganjuran, program ini menerima permohonan daripada hampir 60 sekolah rendah dan menengah yang berminat.

“Kita hanya memilih kira-kira 20 sekolah terpilih bagi menjayakan program pada tahun ini.

Iklan

“Kami menyambut baik penganjuran latihan industri ini kerana tema kebersihan, kelestarian dan persekitaran yang teratur merupakan nilai penting yang perlu dipupuk sejak peringkat pendidikan awal,” katanya kepada Sinar Bestari.

Tambah Mahfuzah, pendidikan berkaitan kebersihan tidak sepatutnya terhad kepada teori semata-mata, sebaliknya perlu diterapkan melalui aktiviti yang mampu meningkatkan kesedaran dan membentuk amalan positif dalam kalangan murid.

Iklan

“Program ini sangat bagus. Kita berharap semua peserta dapat menyampaikan mesej yang baik melalui video yang dihasilkan sekali gus terus mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan persekitaran,” ujarnya.

Lebih membanggakan, peserta berjaya menghasilkan video bertemakan ‘Bersih Itu Hebat’ dalam tempoh dua jam menerusi aktiviti berkumpulan.

Mahfuzah berkata, hasil penjurian turut memperlihatkan kreativiti, bakat dan potensi murid dalam menghasilkan kandungan digital yang menarik serta sarat mesej bermanfaat.

“Menariknya, video yang mereka hasilkan bukan sekadar menjadi bahan pertandingan, malah berpotensi dimanfaatkan sebagai medium pendidikan dan kesedaran masyarakat.

“Kami merancang untuk menyiarkan video terpilih menerusi platform digitalnya bagi memperluas penyampaian mesej kebersihan kepada khalayak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, KDEB Waste Management menegaskan komitmennya terus menyokong program TV PSS Sinar Bestari kelak.

Gilap bakat kewartawanan

Pengalaman berharga, ilmu baharu dan peluang mencungkil bakat!

Itulah antara manfaat yang diperoleh murid menerusi program Latihan Industri TV PSS Sinar Bestari x KDEBWM itu.

Mahfuzah (kanan) bersama Azatus Sakhia (kiri) bergambar bersama sebagai kenangan.

Penolong Pengarah Sektor Pengintergrasian Teknologi Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan (KPM), Azatus Sakhia Shakir Mashkor berkata, program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid tentang dunia penghasilan video, malah ruang mengenali dunia media.

“Menerusi aktiviti yang dijalankan, murid berpeluang mencuba sendiri pengalaman menghasilkan kandungan digital secara berkumpulan.

“Pengalaman itu pastinya menjadi nilai tambah, khususnya bagi peserta yang baru berjinak-jinak dalam dunia TV PSS,” katanya.

Azatus Sakhia berkata, program seperti ini wajar diteruskan kerana mampu memberi pengalaman bermakna kepada murid, selain membantu mengenal pasti bakat terpendam mereka.

“Program ini sangat memberi pengalaman kepada murid. Secara tidak langsung, mereka dapat mencungkil bakat serta mendapat pendedahan tentang etika kewartawanan.

“Saya berharap program seperti ini diterus dan dikekalkan pada masa hadapan. Terima kasih kepada pihak penganjur dan penaja atas kesudian menjayakan program cukup bermanfaat,” katanya.

Tambah Azatus Sakhia, peluang seperti ini bukan sekadar menambah ilmu, malah mampu menyemai keyakinan diri dan melahirkan generasi muda yang kreatif, berani serta bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan digital.