MELAKA - Empat mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memenangi pingat emas menerusi produk inovasi dron pada The World Invention Creativity Olympics (WICO) 2021 di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.
[caption id="attachment_25882" width="200"] Pingat emas yang dimenangi menerusi produk inovasi dron pada The World Invention Creativity Olympics (WICO) 2021 di Seoul, Korea Selatan.[/caption]
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) merangkap Ketua Penyelia Projek, Dr Juffrizal Karjanto berkata, produk ciptaan berkenaan dibangunkan kumpulan mahasiswa daripada FKM, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta dua penyelia yang juga pensyarah kanan FKM.
Juffrizal berkata empat pelajar itu adalah Iqbal Hakimi Mohammad Feirdaus, 20, Nurul Khalida Kasim, 23, Muhammad Haziq Mohd Hamizat, 22, dan Aqil Haikal Jalalus Sayuti, 21, manakala dua penyelia pula Dr Fudhail Abdul Munir dan Dr Nidzamuddin Md Yusof.
Beliau berkata, dron berkenaan dibangunkan secara berperingkat bermula awal tahun lepas hingga pertengahan tahun ini dengan pembangunannya masih dilakukan secara berterusan sehingga kini.
"Dron tersebut telah diuji oleh Persatuan Aktivis UAV Dron Malaysia (MUDAS) dan ia mempunyai kelajuan hingga 50 kilometer sejam di samping berkeupayaan terbang lebih daripada 80 kaki (24.3 meter) dan mempunyai waktu penerbangan sehingga dua jam tanpa pengecasan semula," katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Beliau berkata, produk inovasi tempatan itu diharap mampu membantu masyarakat setempat dan global dan bersaing dalam pasaran tempatan serta antarabangsa.
Katanya, pencapaian berkenaan juga diharap dapat membuka mata peserta tempatan khususnya golongan belia untuk bersama mengembangkan bakat inovasi, sains dan teknologi agar negara terus setanding dengan negara-negara maju.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan itu selari dengan matlamat UTeM untuk memastikan mahasiswanya terus menyerlah bukan hanya di peringkat nasional malah merentas sempadan global.
WICO 2021 yang dianjurkan Korea University Invention Association secara dalam talian itu menghimpunkan lebih 1,000 pelajar serta pencipta dari lebih 25 negara seluruh dunia antaranya Amerika Syarikat, Kanada, China, Romania, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu, Iran, Iraq, Thailand dan India.