SMK Saujana Utama mengungguli kategori Sekolah Menengah Luar Bandar pada ASSSB 2021 2022.
SMK Saujana Utama mengungguli kategori Sekolah Menengah Luar Bandar pada ASSSB 2021 2022.

SMK Saujana Utama rancang bina mercu tanda, Pemenang RM10,000 ASSSB kategori Sekolah Menengah Luar Bandar

Rasyidah Zulkifi
17 Oct 2022 10:13am
A
A
A

Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) 2021/2022 melabuhkan tirainya pada 5 Oktober lalu menerusi acara kemuncak di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor.

Pemenang-pemenang bertuah bagi setiap kategori sudah diketahui umum dan pemenang bagi kategori Sekolah Menengah Luar Bandar iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor mempunyai perancangan unik.

Menurut Pengetua Cemerlangnya, Noor Hayati Embong, 57, pihaknya bercadang membina satu mercu tanda berkaitan dengan anugerah ini menggunakan wang kemenangan.

“Tujuannya adalah untuk memberi maklumat kepada semua warga sekolah dan komuniti serta pelawat yang datang ke sekolah kami berkaitan dengan ASSSB.

“Ini juga sebagai kenangan kepada SMK Saujana Utama yang merupakan sebuah sekolah luar bandar pertama yang memenangi kategori ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Penawar segala duka

Menurutnya, kejayaan dalam pertandingan itu merupakan penawar kepada segala kesukaran dan kegigihan yang dilalui sepanjang tempoh pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

“Semasa melalui cabaran untuk memastikan pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran, sahsiah murid serta aktiviti kokurikulum semuanya perlu lancar dilaksanakan secara dalam talian, tidak pernah terlintas di fikiran saya yang usaha keras para guru akan dihargai melalui pertandingan ASSSB ini.

“Segala tugas dan strategi sekolah diatur dengan berkesan sepanjang tempoh pandemik semata-mata untuk memastikan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dapat dijalankan dengan sempurna di mana murid boleh belajar dan guru boleh mengajar dalam norma baharu.

“Untuk itu, anugerah ini telah menjadi suntikan motivasi kepada seluruh warga sekolah agar terus dedikasi dan cemerlang dalam melaksanakan tugas,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, ulasnya lagi, kemenangan ini telah menjadikan SMK Saujana Utama bersinergi dalam mengatur strategi yang komprehensif bagi memastikan sekolah terus berada di tahap cemerlang dan kemenjadian murid sentiasa dijulang.

“Pengiktirafan ini sememangnya telah menjadi booster kepada warga sekolah untuk menjadi suri teladan yang profesional dan terbaik.

“Pada masa sama, turut mempamerkan prestasi kerja yang cemerlang dalam mendepani transformasi pendidikan negara masa kini.

“Segalanya diterjemahkan ke dalam slaid pertandingan ASSSB yang merupakan hasil kerja keras semua warga SMK Saujana Utama dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang lalu,” jelasnya.

Kongsinya, pihak sekolah telah mengatur strategi untuk memastikan PdPR berjalan dengan sempurna.

“Semua guru perlu mempunyai peranti, latihan kepada guru-guru diberikan dahulu dengan bimbingan guru yang berkepakaran digital.

“Makluman kepada ibu bapa dan tinjauan berkaitan keperluan peranti anak-anak juga telah dijayakan dengan drastik.

“Pelaksanaan PdPR secara dalam dan luar talian antaranya dengan menggunakan modul, Project Based Learning serta pelbagai kemahiran digital lain telah menarik minat murid untuk mengikuti pembelajaran secara konsisten,” katanya.

Selain itu, program infak dan wakaf dalam kalangan guru bersama komuniti turut dilaksanakan untuk memastikan peranti beserta data internet disumbangkan kepada murid yang tidak berkemampuan.

“Bagi keluarga yang mengalami masalah untuk menyediakan bekalan asas makanan di rumah, pihak kami juga memperkasakan Program PEKASIH (Prihatin dan Kasih).

“Ini dilakukan melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Food Bank Malaysia dan Dana Kita yang bertujuan memberikan bantuan bekalan makanan asas sewaktu tempoh pandemik lalu kerana ramai ibu bapa yang kehilangan pekerjaan.

“Bagi melengkapkan keperluan murid untuk sahsiah unggul dalam aktiviti kokurikulum, SMK Saujana Utama secara kreatif dan inovatif telah melaksanakan pelbagai aktiviti secara dalam talian,” jelasnya lagi.

Bukan itu sahaja, pelbagai pertandingan inovasi, pembikinan video, aktiviti sukan, permainan, kelab, persatuan dan unit beruniform secara dalam talian di pelbagai peringkat telah disertai secara aktif oleh pelajar-pelajar sekolah berkenaan.

“Harapan saya agar semua warga SMK Saujana Utama terus komited untuk memastikan kemenjadian murid menjadi keutamaan," katanya sebelum mengakhiri perbualan.

***

Pencapaian sekolah

Peringkat Antarabangsa

1. Pingat emas World Invention Creativity Olympic (WICO) Seoul Korea 2022.

2. World Youth Chess Championship Romania 2022.

3. Pingat perak Russian Diplomat Day Open Chess Tournament 2022 dan tempat Kedua Best Girl .

4. 10th Speed Power International open taekwondo Championships 2022 - Tiga emas, enam perak, 16 gangsa.

5. 4th CK- Classic International Open Taekwondo Championships 2022 1 God - Lima gangsa.

Peringkat Kebangsaan

1. Johan Sustainable Art Design Contest Steadler 2022 , Cabaran 2K pensel warna.

2. Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2022 - Johan perempuan 15 tahun.

3. Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2022 - Johan perempuan 15 tahun.

4. Anugerah Pusat Sumber Sekolah Cemerlang Sekolah Menengah 2022 - Johan negeri ke peringkat kebangsaan.

5. Pertandingan Resensi Buku Sekolah Menengah Bahasa Melayu 2022 - Johan negeri ke peringkat kebangsaan.

6. Pertandingan Resensi Buku Sekolah Menengah Bahasa Inggeris 2022 - Johan negeri ke peringkat kebangsaan.

7. Cabaran Kokurikulum Kor Kadet Polis 2022, Pertandingan Video Log Organisasi PDRM 2022 - Johan negeri ke peringkat kebangsaan.

8. Pertandingan Dekorasi Sudut Bacaan Komik Sekolah (SMK) - Johan Zon 3 daripada 8 zon dan kelompok 5 kebangsaan.

Peringkat Negeri

1. Program Ekspo Penyelidikan, Pembangunan Dan Inovasi (Selangor R&D Innovation Expo) SRIE 2022 – Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) - Naib Johan II dan memenangi RM2,500.

Artikel berkaitan 

“SUTAMA dikenali bukan kerana saya seorang tetapi ia hasil kerja berpasukan”

Hasil kejayaan pelajar dan guru berjaya julang nama SMK Saujana Utama

‘Eh, betul ke SMK Saujana Utama? Saya salah sekolah ni’ – Misi kejutan untuk pengetua berjaya!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan