HomeKategori Sekolah RendahLuar BandarPengiktirafan kepada SK Pos Dipang, Sekolah murid Orang Asli terima hadiah khas...

Pengiktirafan kepada SK Pos Dipang, Sekolah murid Orang Asli terima hadiah khas juri

Biarpun terletak jauh dari bandar dan kurang infrastruktur telekomunikasi, ia tidak menghalang sekolah murid Orang Asli, Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Dipang, Kampar, Perak untuk menyertai Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) 2021/2022.

Usaha mereka tidak sia-sia apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Khas Juri, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, trofi dan sijil penyertaan.

Mereka menyertai pertandingan tersebut di bawah kategori sekolah rendah luar bandar.

Menurut Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd Shir Afzal Khan Mohd Tamin, 45, keputusan ini merupakan satu pengiktirafan kepada pihak sekolah di atas segala usaha dan kesungguhan yang diberikan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 walaupun terdapat beberapa halangan.

Mohd Shir (kiri di depan, berbaju merah) bersama murid-murid SK Pos Dipang meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan, baru-baru ini.

“Mudah-mudahan dengan anugerah ini dapat menambahkan lagi semangat kami untuk terus berusaha mendidik anak bangsa khususnya murid-murid Orang Asli pada masa akan datang.

“Sudah pasti saya dan warga sekolah gembira kerana julung-julung kali pertandingan ini diadakan kami telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri ASSSB.

“Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Selatan yang banyak memberi pandangan, bimbingan, kerjasama dan bantuan dari pelbagai aspek serta mendorong kami melaksanakan setiap aktiviti dengan baik,” katanya.

Tambahnya, kejayaan yang dikecapi ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan individu perseorangan.

Ujarnya, Anugerah Khas Juri menjadi satu memori indah yang terlakar dalam sejarah penubuhan SK Pos Dipang dan semua pihak terlibat yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Pada mulanya, kami hanya melihat promosi yang kerap dipaparkan dalam media sosial dan tertarik apabila terdapat satu kategori untuk sekolah rendah luar bandar.

“Dengan berbekalkan beberapa pencapaian yang telah diperolehi, ia menjadi kekuatan dan semangat untuk kami menyertai pertandingan ini.

“Kesepakatan semua pihak menjadi tunjang kekuatan dan kejayaan sekolah di mana setiap guru serta kakitangan SK Pos Dipang mempunyai kapakaran masing-masing,” tuturnya lanjut.

Kongsinya, SK Pos Dipang turut mempunyai guru-guru yang berkemahiran dalam bidang masing-masing seperti pertukangan, inovasi, sukan, teknologi maklumat dan muzik.

Justeru itu, kesemua kelebihan ini digabungkan untuk memastikan apa jua aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya kemudian dipersembahkan untuk ASSSB.

Ekuiti pendidikan masyarakat Orang Asli

Berkongsi rahsia kejayaan, Mohd Shir, berkata, inisiatif ke-57 Transformasi Pendidikan Orang Asli dan Pribumi dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dijadikan panduan.

“Ini bagi memastikan ekuiti iaitu kesamarataan akses pendidikan murid Orang Asli dan peribumi seiring dengan pendidikan arus perdana dapat direalisasikan dengan kesungguhan dan komitmen semua pihak.

“Keterbukaan terhadap mana-mana pendapat daripada semua pihak juga diterima dan dinilai demi kecemerlangan sekolah menjadi faktor utama rahsia kejayaan sekolah kami,” ujarnya.

Selain itu, sambungnya, jalinan kerjasama dengan NGO dan pihak swasta juga menjadi rahsia kejayaan SK Pos Dipang.

“Dengan anugerah yang diperolehi ini akan dimanfaatkan untuk kemenjadian anak-anak murid SK Pos Dipang dari sudut akademik, sahsiah dan juga kokurikulum.

“Kami merancang untuk mengadakan sumber ilmu dalam taman yang berkonsepkan kelestarian alam semula jadi dan kehijauan bumi di mana murid dapat mengakses ilmu pengetahuan di setiap sudut persekitaran taman, pada masa sama juga dapat mendidik mereka untuk mendisiplinkan diri menjaga khazanah alam semula jadi.

“Perancangan lain adalah program pembangunan sepak takraw setelah sekolah berjaya dalam Kejohanan Sepak Takraw Peringkat Daerah,” katanya yang mahu meningkatkan mutu sukan dan menjadikan ia salah satu kebitaraan SK Pos Dipang,” tuturnya.

***

Pencapaian sekolah

1. Pingat emas Pertandingan Inovasi Pembelajaran (PIP 2022) Peringkat Antarabangsa.
2. Pingat gangsa dalam Pertandingan Inovasi PdP Terbaik (Individu) Kolokium Pendidikan Negeri Perak 2022.
3. Perkongsian Amalan Terbaik Inovasi PdP Sempena Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) Negeri Perak 2022.
4. Anugerah Platinum Kolokium Kajian Tindakan Pusat Sumber Sekolah (PSS) Peringkat Kebangsaan 2022.

5. Anugerah Sekolah Contoh Pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
6. Johan Kumpulan (Sekolah Rendah) Pertandingan 3 Minutes PdP Pitching Daerah Kinta Selatan.
7. Pingat emas International University Carnival on E-learning (IUCEL 2022).
8. Pingat emas Virtual Asia Innovation Show (VAIS 2022) Peringkat Antarabangsa.
9. Anugerah Platinum Kolokium PdPc STREM Peringkat Kebangsaan (K-STREM) 2022 Peringkat Kebangsaan.

Artikel berkaitan 

Dura Adibah, pelajar UTHM raih pengiktirafan di Korea atas perkongsian keunikan budaya Malaysia

3 pensyarah UPM terima pengiktirafan Top Research Scientist Malaysia 2022

Keprihatinan SK Pos Dipang menghulurkan bantuan, sumbang ke arah kecemerlangan murid


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok