HomeAnugerah Sekolah S.M.A.R.TProgram Sekolah Hijau SJKC Pulau Betong tingkatkan kesedaran terhadap alam sekitar

Program Sekolah Hijau SJKC Pulau Betong tingkatkan kesedaran terhadap alam sekitar

Program Sekolah Hijau yang dianjurkan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang berjaya meningkatkan tahap kesedaran warga sekolahnya tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Ia telah dilaksanakan menerusi 140 projek di bawah penyelarasan Cikgu Ong Soon Yeong yang merangkumi empat aspek utama iaitu kecekapan sumber asli, inovasi dan kreativiti, kebersihan dan penghijauan serta penglibatan digital.

Secara tidak langsung, ia menjadi tumpuan utama penyertaan SJKC Pulau Betong dalam Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB), Sinar Harian.

Kempen Jom Turn Off Your Engine adalah sebahagian daripada Program Sekolah Hijau SJKC Pulau Betong.

Melalui program tersebut, warga sekolah telah diberi pendedahan tentang kepentingan alam sekitar menerusi pelbagai inisiatif antaranya pemasangan lampu LED di sekolah bagi menjimatkan tenaga elektrik, kempen mematikan enjin kenderaan ketika menunggu anak dan Sambutan Earth Hour 2022.

Selain itu, program yang dijalankan juga telah membantu menarik minat murid-murid untuk menceburi bidang keusahawanan melalui beberapa penjualan mainan terpakai, produk kitar semula dan hasil pertanian.

Antara hasil produk kitar semula untuk dijual.

Program Sekolah Hijau SJKC Pulau Betong ini diperhebatkan lagi dengan projek menaik taraf persekitaran sekolah yang memberi penekanan terhadap alam sekitar antaranya Taman Lestari, Koridor Lestari dan Eco Farm.

Hasilnya, sekolah ini telah berjaya merangkul beberapa anugerah antaranya Anugerah Perak Program Eco-Schools 2022 dan Anugerah Perak Pertandingan Idea Lestari dan Rendah Karbon Sekolah 2021.

Bukan itu sahaja, hasil bimbingan Cikgu Soon Yeong turut membuahkan hasil apabila menerima Anugerah Ikon Guru Kesukarelawan sempena Sambutan Hari Guru 2022 Peringkat Daerah Barat Daya.

Secara keseluruhannya, SJKC Pulau Betong telah berjaya menampilkan kejayaan yang memberangsangkan hasil usaha warga sekolah dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dan sekali gus melahirkan murid-murid yang mempunyai tahap jati diri yang tinggi.

Artikel berkaitan

Bimbingan guru ICT SMK Kuala Perlis pupuk bakat pelajar dalam bidang inovasi

Galakan dan sokongan berterusan kepada pelajar, faktor kejayaan kokurikulum SMK Tengku Idris Shah

Program Sekolah Lestari SK LKTP Felda Ulu Penggeli didik nilai prihatin terhadap alam sekitar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok