HomeAnugerah Sekolah S.M.A.R.TProgram We Love We Care, tanda prihatin SMK Mukah kepada pelajar

Program We Love We Care, tanda prihatin SMK Mukah kepada pelajar

Program We Love We Care yang dilaksanakan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, Mukah, Sarawak merupakan antara usaha untuk mengembalikan semangat pelajar ke sekolah setelah negara dilanda pandemik Covid-19 sejak awal tahun 2020.

Dengan penyertaan di bawah kategori Sekolah Menengah – Luar Bandar untuk Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB), program telah dimulakan dengan gotong royong yang melibatkan semua kakitangan sekolah dan komuniti setempat.

Para peserta gotong-royong bekerjasama untuk mengangkat perabot yang sudah rosak.

Semasa pelajar-pelajar menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), banyak ruang dan kawasan yang perlu diperbaiki terutamanya asrama pelajar.

Untuk itu, pihak sekolah telah bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Mukah, Mukah, Sarawak untuk mengatasi masalah seperti kekurangan perabot.

Warga sekolah juga bertungkus lumus menceriakan kembali asrama yang akan didiami pelajar-pelajar dengan menjahit cadar dan sarung bantal baharu.

Keadaan asrama setelah siap dibaik pulih.

Sementara itu, kehadiran pelajar ke sekolah menunjukkan penurunan setiap hari akibat daripada Covid-19 dan juga pelbagai kekangan.

Sehubungan itu, SMK Mukah telah mewujudkan inisiatif Program Attendance H.E.R.O ( Here Everyday Right On time) supaya dapat meningkatkan semula kehadiran pelajar ke sekolah.

Pada masa yang sama, program ini juga bertujuan mendapatkan kerjasama dan sokongan ibu bapa, ketua masyarakat, pemimpin tempatan dalam memastikan pelajar tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan terutama mereka yang terkesan dengan Covid-19.

Kempen Attendance H.E.R.O juga diperluaskan di beberapa kampung dan rumah panjang dengan sokongan wakil rakyat.

Tidak terhenti setakat itu, keprihatinan SMK Mukah terhadap pelajarnya diteruskan lagi dengan Program Anjung Qaseh yang bertujuan memastikan pelajar harian yang hadir ke sekolah dapat bersarapan supaya mereka boleh tumpukan perhatian di dalam kelas ketika proses pembelajaran berlangsung.

Secara keseluruhannya, SMK Mukah berjaya mengembalikan semangat pelajar dan seterusnya diharapkan mampu mencipta lebih banyak kecemerlangan akademik dan kokurikulum pada masa hadapan.

Artikel berkaitan

Penyertaan ASSSB SK Sungai Bagian, hasil kecemerlangan murid

Transformasi Digital SK Bukit Rimau, tingkatkan produktiviti dan kemahiran penggunaan teknologi

SMK Agama Miri perkasa program keagamaan, tawar pelbagai khidmat untuk komuniti


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok