Penyertaan ASSSB SK Sungai Bagian, hasil kecemerlangan murid

Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bagian, Tatau, Sarawak meneruskan usaha ke arah pendidikan holistik dengan penyertaan Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB).

Penyertaan sekolah dari bumi kenyalang itu telah memperlihatkan kejayaan murid dalam pelbagai aspek sama ada akademik mahupun kokurikulum.

Zachary Marcello Colin yang merupakan murid Tahun Lima di sekolah itu telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dalam sukan catur antaranya mendapat tempat ke-10 terbaik dalam Pertandingan Catur Saya Anak Malaysia 6.0 Jelajah Sarawak Peringkat Kebangsaan.

Selain itu, pelajar berkenaan juga pernah mendapat tempat kelima Pertandingan Catur Sekolah Rendah Bahagian Bintulu, Sarawak pada tahun lalu.

Turut aktif dalam sukan catur ialah Gwendalynn Eza Tipong Saiman Paing yang mendapat tempat kelima dalam Pertandingan Catur Sekolah Rendah Peringkat Bahagian Sarawak dan berpeluang menyertai Pertandingan Catur Dalam Talian Piala Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Peringkat Antarabangsa 2021.

Dalam pada itu, SK Sungai Bagian yang menyertai ASSSB menerusi kategori Sekolah Rendah-Luar Bandar juga menubuhkan Skuad Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bertujuan memberi bimbingan kepada murid-murid untuk menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran norma baharu ekoran pandemik Covid-19.

Sekolah ini juga memanfaatkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi beberapa platform media sosial seperti TikTok, Whatsapp dan YouTube bagi memudahkan murid-murid memahami subjek yang diajar.

Secara keseluruhannya, SK Sungai Bagian telah membuktikan kecemerlangan sekolah menerusi pencapaian murid dan juga guru yang akan dipertaruhkan dalam ASSSB.

Artikel berkaitan

Kelab Junior AFS Antarabudaya Malaysia antara faktor SK Seksyen 13, Shah Alam sertai ASSSB

Guru dan murid SK Kampung Baharu, Jerantut, berganding bahu menyertai ASSSB

Cabaran pendidikan era pandemik, 3 guru diumum pemenang #CikguJuaraDigital 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok