HomeAnugerah Sekolah S.M.A.R.TSMK Puchong Utama (1) bukti kecemerlangan, raih 10 anugerah

SMK Puchong Utama (1) bukti kecemerlangan, raih 10 anugerah

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Utama (1), Puchong, Selangor, ini mempunyai pencapaian cukup membanggakan apabila memenangi 10 anugerah dalam tempoh kurang tiga tahun, sejak 2020 lalu.

Kecemerlangan membabitkan peringkat kebangsaan dan negeri itu membuktikan komitmen sekolah untuk melahirkan pelajar terbaik dalam pelbagai aktiviti serta program selain akademik.

Antara anugerah yang diperoleh sekolah berkenaan ialah Anugerah Amalan Terbaik Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Pengurusan Pembangunan Sahsiah murid; Anugerah Pengurusan Sahsiah Cemerlang dan Pencapaian Cemerlang Program Kepimpinan Dalam Talian, Pintar – Pemimpin Kohort 2A Tahun 2021/2022.

Tidak terbatas dengan pencapaian sekolah, guru SMK Puchong Utama (1) juga terdiri daripada warga pendidik yang mempunyai latar belakang cukup menarik sehingga meraih pelbagai pengiktirafan.

Ini dibuktikan dengan pencapaian cikgu Aidal Mustafa yang dianugerahkan Ikon Tv Pendidikan; Anugerah Ikon PdPR; Anugerah Penghasilan Video Kreatif Pendidikan Alaf Ke-21 (Platform YouTube); Anugerah Kualiti Guru Pengurusan Unit Hal Ehwal Murid Cemerlang; Anugerah Emas Pengetua; Anugerah Pencapaian Mata Kredit Tertinggi 2021 dan Penghasilan Video Kreatif Pendidikan Alaf Ke-21 (Platform Google Classroom).

Sementara itu, cikgu Julia Abu Sari pula pernah merangkul banyak anugerah antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang; Anugerah Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling DG48 dan DG52; Anugerah Pengurusan Terbaik Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Khidmat Bakti Pengurusan Bimbingan; Kaunseling Cemerlang Peringkat Daerah dan Anugerah Ikon Kaunselor Sekolah Menengah Peringkat Daerah.

Sekolah itu turut melahirkan pelajar yang aktif sehingga meraih pelbagai anugerah dalam bidang badan beruniform iaitu Sasmeethaa Nagulan menerusi Anugerah Pandu Puteri Raja 2021; Anugerah Pandu Puteri Remaja Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Johan Renjer Challenge Persatuan Pandu Puteri Daerah Petaling Perdana.

Berikutan pencapaian itu, maka tidak hairanlah sekiranya kejayaan berkenaan menjadi sandaran untuk menyertai Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB), Sinar Harian.

Artikel berkaitan

Kejayaan pelajar dan guru suntik semangat SMK Dato’ Sulaiman sertai ASSSB

Pelbagai jalinan kerjasama dengan pihak luar, dorong SK Seri Biram sertai Anugerah Sekolah S.M.A.R.T (ASSSB)

Hadiah RM50,000 untuk sekolah, 19 soalan lazim pertandingan ASSSB guru perlu tahu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok