Asyraf Wajdi (kiri) menghubungi dua beradik yang kini yatim piatu melalui panggilan video, selepas kehilangan seluruh ahli keluarga mereka dalam kebakaran tragis pada pagi Khamis.
Asyraf Wajdi (kiri) menghubungi dua beradik yang kini yatim piatu melalui panggilan video, selepas kehilangan seluruh ahli keluarga mereka dalam kebakaran tragis pada pagi Khamis.

Sekelip mata jadi yatim piatu...'Ruby dan adik akan saya jadikan anak angkat Mara' - Asyraf Wajdi

27 Feb 2026 12:45pm

Pagi Khamis itu mengubah seluruh kehidupan dua beradik ini buat selama-lamanya.

Dalam sekelip mata, mereka bukan sahaja kehilangan tempat bergantung kasih, malah kini terpaksa menerima hakikat menjadi yatim piatu tanpa persediaan.

Itulah pahit getir yang kini dilalui Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, dan adiknya, Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, selepas lima ahli keluarga mereka maut dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub, Pahang.

Dalam kejadian menyayat hati itu, bapa mereka, Mohd Alawi Muhammad, 56; ibu, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44; serta tiga adik perempuan Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14 dan Ruby Azyan Barizah, 10 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Lebih memilukan, kedua-dua beradik tersebut terselamat hanya kerana tidak berada di rumah ketika tragedi berlaku..

Ruby Adalia Balqis yang merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Pahang, manakala Ahmad Balia Murqam pula pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dong, kini perlu meneruskan kehidupan dengan kenangan yang pastinya sukar dipadamkan.

Menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, hati sesiapa pun pasti tersentuh membayangkan sambutan Syawal mereka tanpa pelukan ibu, gurauan ayah serta gelak tawa adik-adik yang selama ini menceriakan rumah.

Allahuakbar...besar benar ujian yang ditentukan ALLAH SWT buat dua beradik ini.

Di saat mereka berdepan kehilangan yang amat berat, sinar harapan hadir apabila Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil menghulurkan bantuan segera.

Artikel Berkaitan:

Menerusi perkongsian video di Facebook miliknya, beliau menzahirkan rasa simpati mendalam serta komitmen untuk memastikan masa depan dua beradik itu terus terbela.

"Salam takziah ya. Ruby dengan adik kena kuat...kuat demi arwah ibu dan ayah. Kuat demi masa depan yang masih panjang. Jangan sesekali rasa keseorangan.

"Insya-ALLAH, Mara akan jadikan Ruby dengan adik sebagai anak angkat kami dan saya secara peribadi, jika Ruby sudi, akan jadikan Ruby sebagai anak angkat saya. Saya sendiri akan tanggung Ruby sehingga habis belajar," katanya.

Perkongsian tersebut mengundang rasa sebak dalam kalangan warga maya yang turut mendoakan agar kedua-dua beradik itu diberikan kekuatan luar biasa untuk meneruskan kehidupan.

Semoga Ruby Adalia Balqis dan Ahmad Balia Murqam terus tabah menghadapi ujian ini dan semoga roh seluruh ahli keluarga mereka ditempatkan dalam kalangan insan beriman serta dicucuri rahmat ALLAH. Al-Fatihah.

 

 

Ringkasan AI

  • Pagi Khamis itu mengubah kehidupan dua beradik Ruby Adalia Balqis dan adiknya, Ahmad Balia Murqam menjadi yatim piatu
  • Mereka kehilangan lima ahli keluarga dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, Raub, Pahang
  • Kedua-dua beradik tersebut terselamat kerana tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku
  • Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Mara, menawarkan bantuan dan akan menjadikan mereka sebagai anak angkat
  • Masyarakat mengharapkan Ruby dan Ahmad Balia Murqam terus tabah menghadapi ujian ini
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp